Memaparkan catatan dengan label Layan Sampah [Seleksi Sampah Sarap Peribadi]. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Layan Sampah [Seleksi Sampah Sarap Peribadi]. Papar semua catatan

Selasa, September 25, 2012

Senyum

faham dalam kata
dengan kata
tanpa kata
dari segala kata-kata
apa yang dimengerti
apa yang tererti
aku tahu malam itu gelap
hujan itu basah
ya, aku tahu
senyum mengaku duka
tertawa merasa sakit
ya, selama-lamanya aku tahu
seperti warna hitam
yang takkan pernah putih

(25/09/12 11:18 pm)
                  
           

Rabu, Mei 30, 2012

Secebis

atas tangan yang mengadah
ada syurga
dan langit darah
~itu rahsia

(30/05/12 11:44pm)
   

Selasa, November 01, 2011

Sedang Berada Di Sini




andai aku mengundang, mampukah kamu datang?

bersiar-siar di minda aku

mengkhayali khayalan aku

berfantasi fantasi aku

...,datanglah!

aku menunggu

*senyum*

(01/11/11 12:04 am)


Selasa, Jun 21, 2011

Makhluk Bersayap Hitam, Sebuah Cereka

~sketsa tasik ungu~
 
hening........
.
.
.
.

aku bukakan mata melihat keliling
ruang yang lengang sepi
....tertinggal kosong....
mengamati
tompok-tompok darah
cebisan pelepah hitam
sebilah belati bercalit merah
terdampar di tanah

....menarik nafas....
....aku merangkak lemah....
menghampiri tompok merah
....kian menghitam
aku sentuhi titik-titik kering itu
menarikan jemari
..merasai bekas-bekas darah
bekas darahmu
serentak berulang
detik kau berlalu pergi
terbang bersama sayap yang patah
dan aku belai kesan merah hitam itu
merasakan syahdu
seperti pisau merobek di hati

aku tunduk
berteleku
perlahan-lahan menggapai
menggenggam belati
lalu aku dakap rapat ke dada
seperti masih panas
darahmu yang terpalit
pada malam di saat aku torehkan namaku
mencacah lenganmu....
....aku teguk pilu....
menghadam suasana
menelannya dalam-dalam
kelibatmu telah tiada

terbenam segala bicara
kata-kata
suara
bersama kebisuan yang mencengkam
aku mengutip cebis-cebis
mengumpul pelepah hitam yang berguguran
menyusunnya di ribaan
menghirup rohmu dari helaian sayap yang jatuh
dan seketika
persis kau hadir semula
memenuhi rongga
menyenggama jiwa

.
.
.
.

aku kucup nyawa-nyawa luka
hatimu yang hancur dikisar hidup
aku rentap hatiku dan aku gantikan hatimu
rangkul erat
membelai wajah yang samar
di sebalik topeng....
....aku bisikkan
di dalam sepi
....dengarkan, sayang
aku tetap kasih
walau wajah di sebalik topeng itu
sekeruh lumpur
biar aku cucikan
biar tangan calar dan balar
diceracak topeng kerasmu yang kejap
....ini hanya aku
yang mengasihi jiwamu luhur
biar aku bersihkan
parut noda itu

.
.
.
.

terduduk........
rebah.....
merenung ke dalam tasik ungu yang indah
...dan bayang-bayang yang terbias
hanya bayangku seorang

aku hulurkan sepasang tangan yang ghaib
memeluk erat dirimu dari udara
....di kejauhan ini
memejam mata....
hanya mampu berbisik ke dalam hati
....aku rindu....
titipkan doa ke langit dunia ini yang semakin kelam
berbahagialah, sayang
sesudah kau langkaui alam khayal ini
di sebalik kabus sana
menjelma sebagai matahari yang cerah bersinar
takkan padam lagi....

di sini
penjaga halimunanmu ini....
....menggenggam kemas belati....
mengelar nadi....
dan melangkah masuk ke dalam tasik ungu
lalu tenggelam
terus tenggelam
........bersemadi, mati

(21/06/11 12:20 am)

Ahad, Jun 19, 2011

Pengertian Kenyataan

~Senandika Buat Aliya~

Aliya,

Tentu saja kau tertanya-tanya kenapa ini semua berlaku. Kau pasti inginkan penjelasan mengapa aku begini. Mindamu tidak boleh tidak inginkan penjelasan fakta demi fakta, sedangkan aku yakin dan percaya tiada alasan yang dapat menafikan takdir ini.

Mungkin ibuku pada zaman remajanya jahil. Dia nikah dengan ayah ketika umurnya tujuh belas tahun, seorang gadis suci yang tidak tahu apa-apa. Emansipasi wanita ialah idea yang tidak wujud dalam dunia ibuku. Aku kira dia tidak sedar pun yang dia dinikahkan. Ibuku tidak pernah menonton TV ketika remajanya. Dia tidak lahir dalam dunia pembacaan. Dia tidak tahu apa-apa. Dia nikah dengan ayah yang sepuluh tahun lebih tua daripanya.

Mungkin mereka bercinta, mungkin tidak. Aku tidak pernah bertanya. Bagiku itu tidak relevan kerana ia tidak membawa apa-apa makna. Aku pasti ayah menunjukkan sifatnya yang bengis awal-awal lagi kerana semenjak aku ada memori tentang dunia ini, aku tidak pernah kenal ayah yang seperti ayah orang lain. Dia umpama orang gila apabila dia marah.

Kalaulah aku boleh beritahu bagaimana mindanya bekerja, bagaimana impuls-impuls bertali arus melalui sinaps di dalam otaknya sehingga dia buta kepada logik. Kalau aku bernasib baik, ayah akan diam sahaja. Kalau aku tidak bernasib baik, ayah lupa tubuh aku punya jirim dan akan bermomentum jika dihempas ke dinding. Ayah lupa yang objek-objek bisa pecah, bisa patah.

Apa yang buat ayah marah kami cuba elakkan. Apa yang ayah mahu, ibu beri. Ibu tidak pernah bertanya tentang wang kerana ayah tidak pernah bekerja, kecuali berkebun dengan tidak bersungguh-sungguh. Ayah tidak menternak ayam itik. Ayah ada sawah sebanyak empat keping, tapi kami tidak pernah merasa sesen pun hasilnya. Kami tidak pernah minta apa-apa daripada ayah, kecuali diri kami, supaya dia maafkan setiap kali kami buat "salah".

Selalunya kami gagal kerana keadaan itu tidak bisa dicapai. Suatu hari, ibu jual gelang emas peninggalan arwah nenek untuk buat modal menjual nasi lemak untuk menampung persekolahan menengahku di tingkatan satu. Aku jual nasi lemak di warung di simpang ke bandar. Ayah datang dan campak kesemuanya ke dalam parit di hadapan orang-orang yang ada di situ. Aku ayah jinjing naik ke atas motosikal dan apabila sampai di kebun jagung di seberang parit depan rumahku, ayah kenakan aku. Aku terbaring saja di situ, tidak mendengar nafasku, tidak nampak apa-apa, seolah-olah aku dilindung daripada untuk merasa. Apabila sedar, aku bangkit dan balik ke rumah. Rumah itu umpama telah digeledah keseluruhannya, dan ibu sedang menangis. Aku tahu ibu telah dapat habuannya.

Maafkan ibu, maafkan ibu. Ibu tak dapat buat apa-apa. Maafkan ibu, ibu tak dapat buat apa-apa. Maafkan ibu, ibu tak dapat buat apa-apa.

Ketika itu aku bagaikan mendapat ilham. Aku buat kesimpulan yang kata-kata tidak dapat mengubah apa-apa. Maka aku jadi sepi. Komunikasi tidak lagi punyai makna. Aku sepi kerana jika perkara yang sama terpaksa aku tempuhi hampir tiap-tiap hari dengan tanpa boleh melakukan apa-apa, lebih baik aku tidak gambarkannya dengan kata-kata. Kata-kata tidak bisa mengubat perit dan luka. Kata-kata hanya mengembalikan ingatan. Ingatan hanya menambah pedih.

Pada waktu aku marah dengan dunia, pada waktu aku cuba mencari keselamatan dengan tindakan-tindakan bahaya dan mencabar, aku telah pergi jauh dari ibu. Aku ingat aku boleh kalahkan ayah dengan api dalam jiwaku. Aku sangka aku boleh jadi kuat jika pengawas, guru-guru, dan budak-budak hingusan tingkatan satu, dua, tiga gerun denganku. Aku silap. Aku tewas dengan ayah. Sejauh mana aku mahu lari daripada hakikat ayah itu ayahku, aku semakin jadi seperti ayah.

Ke mana ayah pergi setelah dia terbalikkan duniaku? Dia akan hilang dua tiga hari sebelum dia pulang tanpa sepatah kata sehingga dia jadi gila semula. Boleh kau bayangkan betapa dahsyatnya? Tak mungkin.

Jadi, ramai lagi orang yang malang dalam dunia ni-mangsa keganasan perang, mangsa genosid, mangsa rogol, rompakan, pembunuhan, jenayah. Apa yang istimewa tentang aku? Tiada apa-apa. Tiada apa-apa langsung. Tapi dia ayahku, sepatutnya dia melindungi aku daripada segala kedahsyatan di dalam dunia ini. Tapi idealismeku meleset. Aku akhirnya kecewa dengan diriku sendiri.........

tulisan di atas adalah petikan daripada novel yang gua suka,'merdekakan cinta ratna'.tiada apa-apa yang terlalu luar biasa dan canggih,tapi gua suka kerana ia mempunyai jiwa dan rasa.garapan tentang hidup,tentang takdir,tentang logik.bila realiti bercanggah daripada gambaran minda untuk sesuatu yang patut atau tak sepatutnya berlaku....

sesuatu yang gua suka,untuk membawa minda kita ke ruang di mana apa yang secara logiknya tak berlaku itu berlaku.takdir yang tidak hanya berpaksi pada apa yang baik-baik sahaja.kita ada akal,kita ada pemikiran,tapi hakikat yang sukar untuk kita terima ialah adakalanya akal dan fikiran itu bercanggah dengan emosi dan perasaan.kita hidup dengan idealisme,pemahaman paling umum bahawa suatu insitusi keluarga  haruslah begini di mana ibu itu adalah seorang permaisuri terpuji yang telah banyak berkorban jiwa-raga dan ayah pula adalah pejuang mulia yang berpenat-lelah menyediakan keperluan dan pelindungan,dan begitu seterusnya.itu pada normalitinya adalah tepat.cuma,kita cenderung untuk terlupa bahawa si bajingan yang mencampakkan bayi di tong-tong sampah,yang rela memejam mata terhadap pencabulan sumbang mahram,atau yang sanggup menyerahkan anak kepada jagaan orang lain demi 'masa depan' sendiri,juga adalah seorang IBU.si dayus yang pengecut memukul isteri dan anak,yang tidak bertanggung-jawab dan mengabaikan keluarga,yang rela menyakitkan dan menjahanamkan keturunan sendiri,juga bernama AYAH.ini adalah titik-titik hitam pada fitrah suci yang kita pegang yang pada waktu kebanyakan sering kita lupa tentang kenyataannya.

apa yang gua mahu cakap,betapapun kita mahu percaya bahawa segala-galanya tentang manusia adalah bertunjangkan akal,namun hakikat yang sedikit terpinggir kerana kita senang menolaknya adalah,adakalanya akal itu boleh cedera apabila ia 'dibelasah' oleh perasaan yang cukup dahsyat.ada keadaan bila akal kita mahu mewajarkan sesuatu tapi kewajaran itu tak sampai kerana dibelenggu oleh emosi yang terlalu sakit.kita yang sedang berdiri pada garis umum,hidup dalam gambaran yang tak lari jauh daripada fitrah,sukar untuk mengerti bahawa apa yang akal mahu tak selalunya apa yang akal mampu kerana di sebelah sana,di dunia bilamana hakikat adalah tunggang-terbalik dan haru-biru,untuk melaluinya tidaklah semudah kata-kata.kalau kita nilai dengan adil,adalah sukar seseorang yang pandangannya sentiasa disaji dengan keburukan mahu melihat keindahan.kita boleh cakap macam-macam,tapi realiti bukanlah semurah kata-kata.

sudut yang selalu jatuh pada titik buta dalam pandangan logik masyarakat,itulah yang gua suka bila ia diteroka.ruang jiwa,ruang rasa,bila kenyataan menyanggah logik,emosi menyanggah fikiran.setiapkali kita bercakap tentang 'ayah tetap ayah','ibu tetap ibu' atau apa-apa yang sama di dalam konteksnya kepada mereka yang gagal menyuburkan rasa kasih dan hormat kepada orang tua mereka,di situlah sesungguhnya letak segala kepahitan.untuk menerima bahawa seorang insan yang telah menyakitkan kita,melukakan kita,menjadikan hidup kita sebuah hidup yang perit dilalui sebenarnya adalah insan yang paling mulia dan paling tinggi kedudukannya di dalam dunia........bercakap memang cukup senang,tapi melaksana?kerana itu gua katakan,dalam hidup ini,kemahuan akal tak selalunya selari dengan kebenaran yang terpaksa ditanggung oleh hati.

gua bukan mahu membela kebencian,kesakitan,tindak-tanduk yang menyimpang dari ketetapan,cuma gua mahu tekankan bahawa bukan segala-galanya dalam dunia ini berlaku berteras kepada rasional.kita biasanya akan ambil satu situasi orang lain untuk dilihat dan kemudian mungkin akan mencemuh pada tindakan yang kita rasakan salah.tapi kita jarang-jarang mahu ambil satu situasi orang lain untuk meletakkan diri kita di kedudukan mereka dan bayangkan dengan jujur apa yang mungkin mereka rasa pada ketika mereka bertindak dengan cara salah.garis pemisah di antara melihat dengan menghadapi.kalau tak takkan ada pepatah 'berat mata memandang,berat lagi bahu yang memikul'.kita takkan tahu seberat mana sesuatu beban sehingga kita memikulnya sendiri.jadi,jangan terlalu angkuh.andaikata kita bertuah dilahirkan dalam kehidupan yang baik,bersyukur sajalah kerana di dunia sebelah sana,ada insan yang hidup sengsara menghadapi dunia yang penuh kesedihan dan kesakitan.

mungkin sebenarnya,apa yang gua mahu adalah untuk membuka jiwa membawa kita melihat sudut yang lebih luas daripada kekangan rasional dan normaliti akal,tapi taklah sampai ke tahap mahu menghayati naluri hitam tanpa peri kemanusiaan,melayan fetish membunuh dan meratah daging kanak-kanak.itu biol.toleransi dan pengertian pun perlu ada batas.menyimpang sikit daripada topik,walau gua cuba faham dengan ikhlas,gua masih tak mampu untuk bayangkan apa yang ada di benak mereka yang berimaginasi perkara-perkara macam ni.bukan pasal pembunuhan,pasal minat pada fiksyen bergenre seram,sebab dari sudut itu gua sendiri adalah peminat fiksyen bercorak macam tu dan setakat nak tengok gambar mayat reput,gambar darah,bukan satu hal besar pun tapi apa yang pada gua mengganggu ialah macam mana seseorang sanggup membenarkan akal membayangkan kanak-kanak yang comel dan suci dibunuh,disembelih,dikerat-kerat,dan dimasak untuk dimakan....seriously?kanak-kanak,budak kecil,yang kita tengok riang bermain,yang kita rasa nak peluk nak cium,nak lindungi,sungguh-sungguh jujurkah anda sebagai seorang manusia tergamak membayangkan mereka dibunuh tanpa peri kemanusiaan?sungguh-sungguh,jujurkah di dalam hati anda sezalim itu membenarkan imaginasi sedemikian bermain di kepala?kalau jawapan jujurnya adalah ya maka percayalah,ada sesuatu yang tak kena pada hati anda.

bila gua fikir,rasanya ia tak menyimpang jauh sangat daripada topik.masih berkisar tentang angkuh dan melihat tanpa pengertian sebab masih tetap,kata-kata dan imaginasi adalah terlalu murah berbanding dengan realiti.mungkin hanya tentang wadah yang berbeza.gua lebih suka untuk meneroka keinsanan pada diri,cahaya azali yang ada pada fitrah tapi dikelabui oleh kekotoran dunia.buang kekejaman,kebencian,dendam,gali naluri halus dan kemudian benarkan jiwa untuk merasa dengan seluhur-luhurnya.sesuatu yang kedengaran sangat klise dan mudah,tapi kebenarannya paling mencabar dan susah.apa-apapun,cukup untuk sekadar ingat,apa yang kita cemuhkan,apa yang kita ketawakan,apa yang kita jadikan bahan gurauan tanpa perasaan,atau bahan cacian tanpa belas ihsan,boleh berlaku pada kita bila-bila masa.nanti baru kita tahu,langit tinggi atau rendah.heh.teringat gua pernah cakap dengan selamba kenapalah pesakit kanser nak susah-susah berubat padahal dah tahu kalau kena kanser tu mesti akan mati sudahnya dan kemudian ditakdirkan tuhan ayah gua sendiri menghidap kanser.nah,ambik lu!!hahaha..

ok.dah habis.

MENYANGGAH FITRAH

DI ATAS ALIRAN DUNIA
ARUS YANG MENYUSUR FITRAH
MENYIMPANG TAKDIR INI
MENENTANG LALUAN NURANI

PADA MENTARI YANG BERSINAR
MALAM PULA YANG MENYINGGAH
DAN GHAIB DI MATA MEREKA
HINGGA TIDAK PERNAH IA MENJELMA
LALU TAK PERNAH ADA
HIDUP DALAM KENAFIAN

DI MANA NILAI KEWARASANNYA?
BILA KU BENTANG MENJADI TERBUKA
CUBA MELETAK SATU BACAAN PASTI
SEDANG SEGALANYA INI
DI LUAR SEGENAP AKAL NALURI

SAAT SUNGAI YANG MENGALUN
BERUNDUR BERPATAH KE LANGIT
DAN HUJAN YANG MENYIMBAH
TAK PERNAH MEMBASAHI BUMI
SEGALA YANG TERJADI
TAK PERNAH ADA ISTILAHNYA LAGI

MENGAPA ADA PERCANGGAHAN
SURATAN YANG MEMESONG KETETAPAN
IA ADA DALAM TIADA
SEDANG RAUT YANG DINGIN
MEMAKU UDARA KEBENARAN

MENJEJAK WAKTU YANG MELANGKAU MASA
DAN JAUH DI ATAS TAKDIR DI KEAWANGAN
TIDAK BERSENTUHAN
TIDAK BERHUBUNGAN
..SENDIRI...

APAKAH KEJELASANNYA
BILA SESUATU YANG TIDAK WUJUD
NAMUN WUJUD
MAKA BAGAIMANA UNTUK DIMENGERTI
UNTUK MEMBERI ERTI
JIKA ERTI ITU SENDIRI
BELUM LAGI PUNYA ERTI?

(20/3/06)

DI LUAR TAFSIRMU

BILA SAMPAI MASANYA
KAU AKAN TAHU
KENAPA IA BEGITU
KENAPA IA BEGINI
JANGAN MENYEKSAKU
JIKA AKU BEGINI
KERANA INI YANG DIBERI
TANPA AKU PINTA
AKU KAN GAPAI PERMATA
DIJADIKAN CINCIN
MENGHIASI JEMARIKU
ATAU DIJADIKAN KALUNG
MENYERIKAN PAKAIANKU
JANGANLAH MARAHKAN AKU
KERANA AKU JUA
BERHAK MEMILIKINYA
TIDAKKAH KAU SAYANG
ANDAI DIRIKU
TERHAPUS BEGITU

BEZAKANLAH
ANTARA RASA DAN JIWA
ANTARA AKAL DAN HATI
HARUS KAU FAHAMI
RASA BERKATA KEINDAHAN
TETAPI HATI MENANGGUNG KECELAKAAN
AKAL BERSUARA KEMULIAAN
TETAPI JIWA MENANGGUNG KEKEJAMAN
BERTARUNGLAH KEDUA-DUANYA
DAN TEWASLAH KEDUA-DUANYA
BERKUBUR DAN HILANG

MAAFKAN DIRIKU INI
KERANA MENJADI SEBEGINI
JANGAN TERUS MENGEJI
KERANA KAU PERLU MENGERTI

(1998)

Sabtu, Jun 18, 2011

Jumaat, April 15, 2011

Akhir

tak perlu lagi membentang kata
cukup hanya mengait langit
biar bocor awan kelam
merintik hujan ke tanah gersang
maka mari kita rasakan saja
erti kebasahan
mengalir ke dalam rasa
pengakhir segala bicara

(15/04/11 7:18 am)

Jangan Faham

membilang kesumat ajal
bertunjang api hitam
lalu memenggal kepala waras
membuka lembah haram
menghirup hidup
kematian di hujung infiniti

(15/04/11 7:04 am)

Selasa, Mac 22, 2011

Ini

bila realiti menghentak kepala
-WARAS-
yang tinggal 
kosong

(22/03/11 11:14 pm)

Rabu, Mac 09, 2011

-

DARI sudut ruang yang samar-samar, di antara kegelapan dan cahaya, kelihatan dua orang manusia ataupun sebenarnya lebih tepat lagi jika dikatakan dua lembaga yang misteri sedang duduk menghadap satu sama lain sambil berkata-kata tentang sesuatu yang agak kabur dan tak begitu jelas akan hujung-pangkalnya.

“Tak ada sesiapa yang boleh memilih sendiri takdir hidup mereka. Tapi, kau lihatlah nasib aku. Tak pernah ke walaupun sedetik terlintas rasa simpati dalam diri kau terhadap segala-galanya? Tak pernah ke kau rasa sayang atau kesal dengan apa yang berlaku pada aku? Tak pernah ke kau rasa kejam kerana meletak aku dalam keadaan macam ni? Tak pernah ke kau terfikir yang kau dah berlaku zalim?”

“Aku zalim? Apa maksud kau?” Lembaga berwajah hitam menarik nafas panjang, “Kau bunuh sesuatu yang paling berharga dalam diri aku. Kau bunuh jiwa aku dan kau rampas impian dari hidup aku. Kau tak berlaku adil. Jalan yang kau rintiskan untuk aku menyakitkan dan melukakan naluri sampai aku terkulai lesu. Kenapa jadikan aku sebahagian daripada kegelapan dunia? Kenapa harus aku wujud sebagai kesan hitam yang melambangkan keburukan dan kegagalan insan dalam hidup?”

“Kenapa kau tanya macam tu? Itu kan takdir. Itu apa yang dah tertulis dan tersurat untuk berlaku. Janganlah pula kau cuba pertikaikan seolah-olah kau tak redha dengan takdir dan tak bersyukur. Kau harus terima dengan rela dan cari hikmah sebenar di sebalik apa yang berlaku. Tak perlu dibangkitkan lagi pasal sejarah dan terus membahaskan tentang sesuatu yang telah ditentukan dan tak mungkin boleh diubah oleh sesiapa.”

Mendengarkan jawapan daripada lembaga yang wajahnya bercahaya, lembaga kehitaman itu hanya tersenyum pahit, “Hikmah dalam ketentuan. Memang satu percaturan hidup. Kadang-kadang ada orang yang perlu hancur untuk jadi iktibar pada yang lain. Ah, kebenaran memang menyakitkan! Mungkin aku harus jadi satu pengajaran. Tapi, dilahirkan pada jalan yang hitam dan ditakdirkan untuk hancur itu terlalu kejam kerana aku juga dilahirkan sama macam orang lain. Aku juga diberikan perasaan dan harapan dalam diri aku. Tahukah kau betapa sakitnya hidup dalam kemusnahan seolah-olah kewujudan aku tak bernilai dan sia-sia? Tahukah kau betapa pahitnya melalui kehidupan yang macam tu?”

“Kenapa kau masih terus merungut dan mempersoalkan takdir hidup kau? Cuba kau bertenang dan berfikir dengan lebih waras. Perjalanan hidup manusia adalah berlandaskan ketentuan yang satu. Kita sentiasa diiringi qadak dan qadar yang memastikan apa juga yang berlaku adalah apa yang memang telah ditetapkan dan perlu bagi kehidupan. Hentikanlah cuba membangkang qadak dan qadar dengan menyalahkan orang lain. Tak baik kalau kau terus macam tu. Kitakan tahu apa yang berlaku itu semuanya datang dari Tuhan. Sudah-sudahlah. Terimalah dengan hati terbuka dan relakan semuanya. Jangan terlalu ikutkan perasaan sampai tak dapat nak membezakan suratan dan ketentuan. Kau tetap takkan dapat apa-apa dengan mengungkit pasal sejarah dan terus merungut macam ni. Hentikan saja. Belajar untuk terima kenyataan dan jangan terus persoalkan tentang sesuatu yang dahpun berlaku.”

Si Wajah Hitam sekadar mengeluh lemah. “Belajar untuk terima kenyataan dan jangan terus persoalkan tentang sesuatu yang dahpun berlaku? Ah, kau perlu tahu sesuatu. Sebenarnya masa depan boleh diubah. Hidup boleh dibentuk. Jiwa boleh dilentur. Cahaya dalam hati perlu dipelihara kerana ia adalah sesuatu yang paling penting bagi seseorang. Cahaya itulah yang menjadi pintu pada bahagia, pada ketenangan. Tapi, bila cahaya tu direntap dengan kejam dan dihapuskan tanpa kata dua, ianya tak boleh dimaafkan. Perbuatan tu terlalu zalim dan tak berperikemanusiaan kerana menghapuskan cahaya dalam hati seperti merampas segala naluri dan mengotorkan segala kesucian yang ada pada seseorang. Kalau dapat kau fikirkan tentang itu. Bukan mempersoalkan takdir tapi menyangkal perbuatan kejam yang menjadi punca pada seribu satu derita dan kesengsaraan dalam dunia ni.”

Lembaga yang bercahaya mengerutkan dahinya, “Apa sebenarnya yang cuba kau katakan ni?” Sekali lagi Si Wajah Hitam mengukirkan senyuman pahit, “Aku tahu perjalanan hidup ni telah ditentukan dari azali. Percayalah, tak sekali-kali aku cuba nak tolak takdir atau marah pada ketentuan tapi cuba kau selam balik hakikat semua ni dengan lebih halus dan dalam. Aku nak kau pandang dan nampak balik dengan gambaran yang tak pernah kau lihat sebelum ni. Cuba kau hayati dan renung semuanya dengan berlandaskan realiti yang hakiki.”

Dia mengangkat wajahnya perlahan-lahan. “Kenapa aku jadi macam ni? Kenapa mesti kesudahannya berakhir dengan kepahitan? Bukan aku nak mengungkit atau merungut, tapi kau lihatlah macammana ketentuan hidup memastikan nasib seseorang. Aku tak minta jadi macam ni. Aku tak minta untuk gagal dan musnah dalam hidup ni tapi aku tak ada banyak pilihan. Aku tak mampu cakap banyak dan cuba cerewet dengan nasib diri. Cuba kau berpijak di bumi yang nyata dan pandang aku dengan sedalam-dalamnya. Siapa aku dalam dunia yang luas dan mencabar ni? Kau lahirkan aku sebagai orang yang terbuang tanpa kemuliaan, kebaikan. Dalam diri aku tak pernah ada kelembutan dan kehalusan. Aku tak kenal damai atau ketenangan. Aku tak kenal kasih sayang. Aku juga tak pernah mengatur hidup dengan sempurna. Hakikatnya, kau ciptakan aku sebagai orang yang daif segala-galanya. Aku tak bahagia. Aku tak gembira. Apa yang aku kenal cuma kemarahan, kebencian. Apa yang aku ada cuma jiwa sakit yang tak terubat dan tercemar dengan bermacam keburukan dunia.”

“Aku ciptakan kau macam tu?” Si Wajah Hitam tunduk merenung bumi, “Ya. Aku bukan nak salahkan kau tapi itulah hakikat yang sebenar-benarnya. Itu kenyataan hidup. Dunia ini sentiasa terbahagi kepada dua bahagian. Satu bahagiannya terang dan satu bahagian lagi gelap. Aku berada di bahagian yang gelap itu. Kita boleh berkata macam-macam tapi sebenarnya itulah perhitungan hidup yang tak dapat dielakkan. Walau apapun yang kita cakap, siapa yang boleh nafi sememangnya sampai bila-bilapun dunia akan termaktub begitu. Aku bukan mereka yang berada pada jalan lurus dan teratur. Aku mereka yang terpaksa bergelut dalam hidupnya, terpaksa berhempas-pulas berperang dengan macam-macam bencana yang datang. Setiap hari, itulah yang menjadi santapan jiwa aku. Nak bermimpi dan berharappun aku tak sempat. Aku macam menunggu giliran, berbaris menanti bila dunia nak menghancurkan aku. Itu yang aku lakukan. Itulah kehidupan aku sehari-harian.”

Suasana jadi hening seketika. “Tentu kau terfikir kan, kehidupan apa yang teruk macam tu? Tapi apa yang benar tu tetap benar walaupun pahit. Aku sendiripun tak tahu siapa yang menetapkan hukumnya macam tu. Kenapa dunia ni ada gelap dan cerah. Kenapa dunia ni ada hitam dan putih. Kenapa ada yang bertuah dan kenapa ada yang malang. Kalau boleh aku nak jadi salah-seorang dari mereka yang bila lahir jalan hidupnya terjamin dan cerah tapi sebaliknya aku tercipta pada jalan hitam. Aku nak simpan impian dan pengharapan tapi apa yang nak aku cita-citakan pada hidup hambar yang tak ada seri? Aku tak bentuk diri aku untuk berfikir macam tu tapi kau tengoklah sendiri macammana dunia aku. Kau tak pernah ada. Kau tak pernah faham. Kau tak pernah hadir. Aku sendirian susah-payah membawa diri mencari arah. Aku terkial-kial dalam hidup. Aku keseorangan. Aku lakukan semuanya sendiri. Aku belajar tentang realiti dan hakikat, mungkin dalam corak yang tak memberangsangkan. Seterusnya minda aku tersekat, disemakkan dengan segala kepincangan yang aku hadap hari-hari. Aku bagaikan dididik untuk berfikir dengan segala pandangan yang negatif dan tak sihat. Aku telah dibentuk, ditunaskan untuk jadi sebegini oleh keadaan. Bolehkah kau tepis? Bukan aku mahu. Bukan aku yang menentukan. Kehidupan seolah-olah dah tetapkan aku jadi macam ni.”

Si Wajah Hitam memandang jauh. “Mungkin kau tak pernah tahu dan tak pernah langsung terfikir. Hati aku suram. Hati aku kosong, hambar. Lihat saja mata aku. Tak ada apa-apapun yang bersinar kat dalamnya. Aku tak punya apa, tak memiliki walau satu apapun. Tiapkali aku menoleh sejarah, yang terus-terusan mengisi pandangan aku cuma pengalaman-pengalaman yang pahit. Aku cuba cari keindahan dari hari-hari lepas itu tapi yang ada cuma kosong dan sepi. Aku tak pernah ada kenangan, tak pernah ada suka-duka hidup macam yang mereka lalui itu. Aku duduk diam memikirkan arah yang nak aku tuju dan buru tapi hati aku sentiasa dingin, aku tak rasa semangat dan sebarang keghairahan. Aku seolah-olah mati. Aku sendiri tak tahu. Aku sendiri tak pasti kenapa hati aku hambar dan ke mana perginya segala warna dan keceriaan yang sepatutnya ada dalam jiwa setiap orang. Hidup aku tawar dan kosong. Kalau adapun cuma rasa marah dan kecewa yang membuak-buak terhadap segala ketidakadilan yang kau lakukan pada aku.”

Si Wajah Hitam diam menarik nafas. “Mungkin kau terfikir kenapa aku cakap kau tak adil pada aku. Ah, kalaulah kau mengerti. Aku masih tak memahami apa-apa di saat itu. Jiwa aku yang baru berputik digelapkan dengan macam-macam perkara yang buruk. Hati aku yang baru bertunas dicemarkan dengan segala tekanan dan pergolakan hidup. Aku dibebankan dengan kemelut emosi yang berserabut dari azali. Aku tak boleh tenang. Aku tak boleh aman. Bagaimana aku nak luruskan fikiran aku dalam kehidupan macam tu? Bagaimana aku nak nampak cahaya dan belajar sesuatu yang baik sedangkan sejak dari mula aku cuma melihat kepincangan, kekalutan? Dan aku terpaksa menanggung keburukan setiap hari, hidup dengan jiwa berpenyakit yang tak cukup keperluan, tak cukup intipati untuk menjadi jiwa yang sempurna.”

Lembaga yang bercahaya seakan-akan terkedu. Dia lihat airmata Si Wajah Hitam yang bergenang sarat. “Sejak dulu lagi aku mahu sangat bertanya pada kau sebenarnya. Apa salah dan dosa aku? Apa kesilapan aku yang begitu besar hingga tergamak kau biarkan aku hidup keseorangan dalam dunia yang begitu menyakitkan? Dalam waktu itu tak pernahkah terlintas di hati kau tentang kesannya pada aku suatu hari nanti? Bukankah kau insan yang bijak dan lebih arif tentang segala-galanya? Tapi kenapa ketika semuanya berlaku macam apa yang telah berlaku kau boleh terlupa perkara yang sepenting itu? Ya, aku jahil. Bukankah lebih wajar insan seahli kau yang berfikir tentang akibat pada apa yang berlaku di satu-satu masa ke atas aku untuk hari muka? Tapi kenapa kau biarkan segalanya berlangsung begitu untuk aku tanpa terfikir betapa sakit dan lukanya aku terumbang-ambing sendirian hidup dalam bermacam dugaan dan tekanan?”

Airmata mengalir lesu. “Hati aku menggelap setiap sesaat. Jiwa aku menghitam dan mendingin hari ke hari. Kenaifan aku, kelembutan aku, tergadai entah ke mana. Segalanya jadi keruh dan tercemar. Detik demi detik terbang tanpa sebarang makna selain menjadi tanda pada hidup aku yang semakin terbuang dan sia-sia. Lalu kenapa harus aku marah? Kenapa harus aku bangkitkan sejarah dan tanyakan kembali pada kau?

Kebenaran tu kejam, kau tahu tak? Melihat semula ke belakang, betapa segalanya berlaku di luar kerelaan aku sendiri. Aku cuma jiwa yang menerima dan membawa hidup yang kau cipta. Betapa aku benci dan sakit dalam hidup itu tapi hidup itu tetap hidup aku. Betapa aku tak rela terluka, tak rela tersisih dan terpinggir tapi itu masih apa yang berlaku. Kalaulah kau mengerti. Kalaulah kau tahu. Kain yang putih itu perlu dicorakkan dengan penuh hikmah dan kelembutan. Dan aku sebenarnya hanya mangsa di tengah-tengah keadaan. Jiwa yang menjadi taruhan dalam setiap percaturan kau. Masihkah kau tak mengerti lagi? Masihkah kau tak sedar apa yang cuba aku sampaikan di sebalik semua ni? Kain itu begitu putih dan bersih pada asalnya, kau tahu? Ia tak pernah hitam dari azali. Ia tak pernah rosak dan tercemar begitu saja kalau ia dipelihara dan dilindungi sejak dari mula.”

Keadaan jadi sepi. Mereka tenggelam dalam kebisuan yang agak panjang. Setelah beberapa ketika, lembaga yang bercahaya itu bangun menghampiri Si Wajah Hitam lalu menyentuh bahunya perlahan. “Maafkan aku,” dia diam seketika, “Ah, maafkan aku! Aku tak tahu nak kata apa sebenarnya. Maafkanlah aku. Aku betul-betul minta maaf untuk segala-galanya.” Lembaga yang bercahaya mencengkam bahu Si Wajah Hitam kemas. Dia membatu. Dia kelu untuk berbicara dengan lebih lanjut.

Si Wajah Hitam meneguk liur pahit. Pandangannya meleret ke bawah. “Kau tahu tak, kalau boleh aku harap kemaafan tu dapat jadi penawar segala-galanya tapi ada benda dalam hidup ni yang tak dapat diubati dengan hanya meminta maaf. Jurang kita adalah masa dan sayangnya masa dah terlalu jauh berlalu. Saat ini sebenarnya bukan lagi saat untuk aku. Segala-galanya dah terlalu hitam dan pekat, tak mungkin mampu dijernihkan semula seperti asal dulu. Dah terlalu lewat untuk itu. Sayang sekali, kerana manusia cuma akan jadi naif sekali. Dan kerana itu juga sebenarnya kata-kata kau amat tepat. Tak ada siapa yang mampu merubah takdir dan apa yang pernah berlaku akan terpahat untuk selama-lamanya tanpa dapat dipadam dan diusik lagi. Aku tahu. Aku mengerti. Adakalanya ketentuan membawa kita pada suatu keadaan yang bertentangan dengan kemahuan kita. Aku cuma terkilan tapi tak pernah berdendam. Sekadar terkenang apa yang mungkin aku miliki namun telah dirampas begitu sahaja. Tapi, aku sendiripun dah sebati dengan jalan hidup aku ni. Terlalu sebati hingga tak mampu membayangkan kehidupan yang lain untuk aku. Kemusnahan dan kehancuran itu juga adalah sebahagian dari keperluan alam ini, kan? Perlu ada korban demi melengkapkan aturan itu. Perhitungannya memang dah begitu sejak dulu. Di sebalik setiap kemusnahan masih juga ada hikmah walaupun yang musnah itu adalah aku dan hikmahnya bukan terbentang untuk hidup aku yang dah terkubur.”

“Ah! Aku minta maaf! Aku minta ampun! Tak ada apa ke yang boleh aku buat untuk baiki segala-galanya? Beritahulah apa yang boleh aku berikan sebagai ganti untuk kau. Beri peluang aku tebus kembali apa yang tak pernah terjalin antara kita. Kau beritahulah apa boleh aku lakukan untuk jadikan keadaan lebih baik dalam hidup kau hari ini. Macammana baru dapat aku lunaskan apa yang kurang dan silap dalam semua ini?”

Senyuman sayu terlukis di wajah yang kelam. “Terimakasih. Aku hargai niat baik kau tu tapi tak apalah sebab saat ni akupun dah berada di hujung-hujung waktu. Tak perlulah kau bimbangkan aku lagi. Akupun dah tak kisah sangat. Aku mencari apa-apa saja yang mungkin ada untuk aku di luar sana kerana aku tahu aku akan pergi dan jalan hitam ini akan hilang bersamaku. Cuma, ada sesuatu yang ingin aku minta dari kau. Lihatlah mereka yang tak tahu apa-apa tu. Cukuplah, jangan ciptakan lagi manusia seperti aku ni di kemudian hari. Aku dah jadi sejarah, tapi mereka masih suci, dan dunia mereka ada di tangan kau. Pastikan mereka dapat apa yang berhak mereka miliki supaya esok-lusa nanti kisah yang menyedihkan seperti aku takkan berulang. Kasihan mereka.”

Tidak jauh dari situ, kelihatan sekumpulan kanak-kanak sedang bermain dengan riang tanpa menghiraukan dunia luar yang rakus mengejar pangkat dan wang ringgit. Dua lembaga itu bangkit dari duduk setelah berdiskusi dan di celah-celah fajar pagi yang mula berarak, mereka beransur melangkah lalu ghaib ke dalam kabus yang menyinsing.

Dan kanak-kanak itu terus bermain riang.

(Jalan Hitam, Bab II : 1999)

Rabu, Mac 02, 2011

Terbang

....atau menyelam?
haih....
cadar merah
di kamar hitam
mengerti...?
datang saja ke sini....
....kerana
kau dan aku
sebenarnya....
lebih hampir 
dari....
....yang kau tahu
dan....

ah, kau sendiri sambungkan!

(02/03/11 11:04pm)

Sabtu, Disember 11, 2010

Memplagiat 'Sampah' Sendiri

~Untitled~
aku saksikan hati ini
mengabadikan jiwamu
seperti bayu salju
membelai perasaan

aku genggam kenanganmu
menusuk kerinduanku
lalu aku sebarkan
mengisi angin malam
dan menjadi ingatan....
yang teguh dan utuh bersemadi

malam ini
saat wajahmu datang lagi....
aku bertafakur sendiri
betapa kuatnya
realiti ini....
saat aku rindu kehadiranmu
dan aku tahu....
kau pasti menjelma lagi....

aku pasti di sini
menanti ombakmu
tiba....
dan aku terus abadi
mengagungkan
~cinta ini~


(22/11/2000)

rasa macam kelakar pulak bila fikir umur gua 18 masa tulis benda ni..but i guess,i'm just me from the very beginning..


~Selamanya~
Suatu masa nanti
mungkinkah seperti hari ini
aku membuka catatanku
dan merasakan sendiri
betapa jauh waktu berubah

Mungkinkah nanti
akan terjadi lagi
saat aku merenung
mengingati semula
mencari-cari naluri
detik aku melakar tulisan ini

Saat ini
kala aku menatap kata-kataku
aku tahu
tiada apa yang pernah hilang
tiada apa yang pernah padam
dan kata-kata ini
masih menjadi kata-kataku lagi

Suatu hari nanti
bila aku membaca tulisan ini
moga ia seperti hari ini
menyedari waktu yang berubah
dan aku masih lagi sebegini

Suatu hari nanti
detik ini akan berulang lagi
bila aku membuka catatanku
dan menyedari
betapa waktu....
....telah berlalu....

(15/05/05 2:30 am)

Khamis, Februari 25, 2010

Salvation (Ulang Tayang)

KAU....
DATANG DENGAN SENYUMAN
MENALUNGKAN TANGLUNG CINTA
DI TUBUHKU

KAU BICARA TENTANG LUHUR
BICARA TENTANG KUDUS
LAKARAN IDEAL
BERBUSUNG NAJIS NAFSU

KAU....
DATANG MENATANG IMPIAN
MENEBAR ANYAMAN RINDU
DENGAN MATA YANG PENUH NODA
PENUH KEJAHATAN!

KAU SEBAR HALILINTAR
MEMANAH KE RASAKU
MAHU ITU
MAHU AKU
MAHU AKU TERKORBAN
DALAM KEJAM RINDUMU

KAU HUNUS BADIK KASIH ITU
MENIKAM MIMPI
CORETAN SEMPURNA
DALAM DRAMA CINTA....
....MENGKELAR AKU
MENGOYAK PUTIHKU
MENCINCANG-CINCANG NAIFKU
MEMBUNUH....
ANAK KECIL DI DALAM AKU

KAU....
DATANG DENGAN RENUNGAN
MELAGUKAN TULUS
MENYANYI PENUH INDAH....
....MENGHENTAK PAGAR JIWAKU
MENGUPIL RAKUS KUNCI SYAHDU
MEMBIAR AKU BERDARAH
MEMBIAR AKU SAKIT
MEMBIAR AKU MUSNAH
MEMBIAR AKU MERINTIH
DI SEBALIK TIRAI

KAU DATANG PADAKU
DATANG KE SISIKU
MEMPERKOSA HATIKU
MELACUR JIWAKU
MENGHAKIS MULUS WAJAHKU

HENTIKANLAH....
....SUDAHLAH....
KELUARLAH DARI SINI
KELUAR DARI AKU
BERHENTILAH
MELAPAH BERSIHKU

MENCARI ARAH TERBIT MENTARI
DALAM KEKELAMAN HARAPAN
PAUTAN SUCI SEMALAM
LAMUNAN RINDU ITU
SUCIKANLAH KEMBALI JIWAKU
SUCIKANLAH KEMBALI JIWAKU....

AKU MERAYU....
ANDAI TANGANMU PENAWAR
SUCIKANLAH KEMBALI JIWAKU........

(24/09/07 5:42 PM)



*sucikan aku dengan tulusmu....25/02/10 12:42 am
 

Selasa, Januari 05, 2010

di sana atau di mana, aku masih aku

lama aku kuis zarah-zarah di udara
aku kirai gas-gas yang terkumpul
yang mampat dan yang bebas
yang pejal dan yang cair


....ternyata, aku masih juga mencintaimu

(05/01/10 11:54 pm)


Ahad, Disember 13, 2009

Isnin, Ogos 24, 2009

Selamanya....

Suatu masa nanti
mungkinkah seperti hari ini
aku membuka catatanku
dan merasakan sendiri
betapa jauh waktu berubah

Mungkinkah nanti
akan terjadi lagi
saat aku merenung
mengingati semula
mencari-cari naluri
detik aku melakar tulisan ini

Saat ini
kala aku menatap kata-kataku
aku tahu
tiada apa yang pernah hilang
tiada apa yang pernah padam
dan kata-kata ini
masih menjadi kata-kataku lagi

Suatu hari nanti
bila aku membaca tulisan ini
moga ia seperti hari ini
menyedari waktu yang berubah
dan aku masih lagi sebegini

Suatu hari nanti
detik ini akan berulang lagi
bila aku membuka catatanku
dan menyedari
betapa waktu....
....telah berlalu....

(15/05/05 2:30 am)

Rabu, Julai 22, 2009


Seru~




adakah kau akan datang...?
menemuiku di sini
kau tahu di hujung laut itu
di balik gua kelam
angin dingin yang sayu
kau tongkah saja misteri itu
dan juga pilumu
turutkan bayu
....di situ aku....





(22/07/09 12:40 am)

Bertemu

Selasa, Julai 21, 2009

Laut

laut....
larikan aku dalam ombakmu
balutkan aku dalam bayumu
aku mahu tidur....
....malam ini sejuk....

(21/07/09 12:16 am)

Ahad, Julai 19, 2009

Ketika Aku Mahu Didengari Tanpa Difahami

Persimpangan akli
jalan lurus yang bercabang
di tangan yang ku serak cahaya
lalu gelita alam

Bukan apa-apa
dan tiada sesiapa
langit dalam kirmizi
awan dalam api
awal tanpa hujung

Di infiniti
aku tarikan maut
ajal di titik lahir
lalu mati untuk hidup
dan hidup untuk mati

Biarkan saja hujan melimpah
sinar yang gelap itu
berjalan ke akhir di tempat mula
dan ini aku
mengirai horizon

(19/07/09 11:20 am)