Ahad, Jun 19, 2011

Pengertian Kenyataan

~Senandika Buat Aliya~

Aliya,

Tentu saja kau tertanya-tanya kenapa ini semua berlaku. Kau pasti inginkan penjelasan mengapa aku begini. Mindamu tidak boleh tidak inginkan penjelasan fakta demi fakta, sedangkan aku yakin dan percaya tiada alasan yang dapat menafikan takdir ini.

Mungkin ibuku pada zaman remajanya jahil. Dia nikah dengan ayah ketika umurnya tujuh belas tahun, seorang gadis suci yang tidak tahu apa-apa. Emansipasi wanita ialah idea yang tidak wujud dalam dunia ibuku. Aku kira dia tidak sedar pun yang dia dinikahkan. Ibuku tidak pernah menonton TV ketika remajanya. Dia tidak lahir dalam dunia pembacaan. Dia tidak tahu apa-apa. Dia nikah dengan ayah yang sepuluh tahun lebih tua daripanya.

Mungkin mereka bercinta, mungkin tidak. Aku tidak pernah bertanya. Bagiku itu tidak relevan kerana ia tidak membawa apa-apa makna. Aku pasti ayah menunjukkan sifatnya yang bengis awal-awal lagi kerana semenjak aku ada memori tentang dunia ini, aku tidak pernah kenal ayah yang seperti ayah orang lain. Dia umpama orang gila apabila dia marah.

Kalaulah aku boleh beritahu bagaimana mindanya bekerja, bagaimana impuls-impuls bertali arus melalui sinaps di dalam otaknya sehingga dia buta kepada logik. Kalau aku bernasib baik, ayah akan diam sahaja. Kalau aku tidak bernasib baik, ayah lupa tubuh aku punya jirim dan akan bermomentum jika dihempas ke dinding. Ayah lupa yang objek-objek bisa pecah, bisa patah.

Apa yang buat ayah marah kami cuba elakkan. Apa yang ayah mahu, ibu beri. Ibu tidak pernah bertanya tentang wang kerana ayah tidak pernah bekerja, kecuali berkebun dengan tidak bersungguh-sungguh. Ayah tidak menternak ayam itik. Ayah ada sawah sebanyak empat keping, tapi kami tidak pernah merasa sesen pun hasilnya. Kami tidak pernah minta apa-apa daripada ayah, kecuali diri kami, supaya dia maafkan setiap kali kami buat "salah".

Selalunya kami gagal kerana keadaan itu tidak bisa dicapai. Suatu hari, ibu jual gelang emas peninggalan arwah nenek untuk buat modal menjual nasi lemak untuk menampung persekolahan menengahku di tingkatan satu. Aku jual nasi lemak di warung di simpang ke bandar. Ayah datang dan campak kesemuanya ke dalam parit di hadapan orang-orang yang ada di situ. Aku ayah jinjing naik ke atas motosikal dan apabila sampai di kebun jagung di seberang parit depan rumahku, ayah kenakan aku. Aku terbaring saja di situ, tidak mendengar nafasku, tidak nampak apa-apa, seolah-olah aku dilindung daripada untuk merasa. Apabila sedar, aku bangkit dan balik ke rumah. Rumah itu umpama telah digeledah keseluruhannya, dan ibu sedang menangis. Aku tahu ibu telah dapat habuannya.

Maafkan ibu, maafkan ibu. Ibu tak dapat buat apa-apa. Maafkan ibu, ibu tak dapat buat apa-apa. Maafkan ibu, ibu tak dapat buat apa-apa.

Ketika itu aku bagaikan mendapat ilham. Aku buat kesimpulan yang kata-kata tidak dapat mengubah apa-apa. Maka aku jadi sepi. Komunikasi tidak lagi punyai makna. Aku sepi kerana jika perkara yang sama terpaksa aku tempuhi hampir tiap-tiap hari dengan tanpa boleh melakukan apa-apa, lebih baik aku tidak gambarkannya dengan kata-kata. Kata-kata tidak bisa mengubat perit dan luka. Kata-kata hanya mengembalikan ingatan. Ingatan hanya menambah pedih.

Pada waktu aku marah dengan dunia, pada waktu aku cuba mencari keselamatan dengan tindakan-tindakan bahaya dan mencabar, aku telah pergi jauh dari ibu. Aku ingat aku boleh kalahkan ayah dengan api dalam jiwaku. Aku sangka aku boleh jadi kuat jika pengawas, guru-guru, dan budak-budak hingusan tingkatan satu, dua, tiga gerun denganku. Aku silap. Aku tewas dengan ayah. Sejauh mana aku mahu lari daripada hakikat ayah itu ayahku, aku semakin jadi seperti ayah.

Ke mana ayah pergi setelah dia terbalikkan duniaku? Dia akan hilang dua tiga hari sebelum dia pulang tanpa sepatah kata sehingga dia jadi gila semula. Boleh kau bayangkan betapa dahsyatnya? Tak mungkin.

Jadi, ramai lagi orang yang malang dalam dunia ni-mangsa keganasan perang, mangsa genosid, mangsa rogol, rompakan, pembunuhan, jenayah. Apa yang istimewa tentang aku? Tiada apa-apa. Tiada apa-apa langsung. Tapi dia ayahku, sepatutnya dia melindungi aku daripada segala kedahsyatan di dalam dunia ini. Tapi idealismeku meleset. Aku akhirnya kecewa dengan diriku sendiri.........

tulisan di atas adalah petikan daripada novel yang gua suka,'merdekakan cinta ratna'.tiada apa-apa yang terlalu luar biasa dan canggih,tapi gua suka kerana ia mempunyai jiwa dan rasa.garapan tentang hidup,tentang takdir,tentang logik.bila realiti bercanggah daripada gambaran minda untuk sesuatu yang patut atau tak sepatutnya berlaku....

sesuatu yang gua suka,untuk membawa minda kita ke ruang di mana apa yang secara logiknya tak berlaku itu berlaku.takdir yang tidak hanya berpaksi pada apa yang baik-baik sahaja.kita ada akal,kita ada pemikiran,tapi hakikat yang sukar untuk kita terima ialah adakalanya akal dan fikiran itu bercanggah dengan emosi dan perasaan.kita hidup dengan idealisme,pemahaman paling umum bahawa suatu insitusi keluarga  haruslah begini di mana ibu itu adalah seorang permaisuri terpuji yang telah banyak berkorban jiwa-raga dan ayah pula adalah pejuang mulia yang berpenat-lelah menyediakan keperluan dan pelindungan,dan begitu seterusnya.itu pada normalitinya adalah tepat.cuma,kita cenderung untuk terlupa bahawa si bajingan yang mencampakkan bayi di tong-tong sampah,yang rela memejam mata terhadap pencabulan sumbang mahram,atau yang sanggup menyerahkan anak kepada jagaan orang lain demi 'masa depan' sendiri,juga adalah seorang IBU.si dayus yang pengecut memukul isteri dan anak,yang tidak bertanggung-jawab dan mengabaikan keluarga,yang rela menyakitkan dan menjahanamkan keturunan sendiri,juga bernama AYAH.ini adalah titik-titik hitam pada fitrah suci yang kita pegang yang pada waktu kebanyakan sering kita lupa tentang kenyataannya.

apa yang gua mahu cakap,betapapun kita mahu percaya bahawa segala-galanya tentang manusia adalah bertunjangkan akal,namun hakikat yang sedikit terpinggir kerana kita senang menolaknya adalah,adakalanya akal itu boleh cedera apabila ia 'dibelasah' oleh perasaan yang cukup dahsyat.ada keadaan bila akal kita mahu mewajarkan sesuatu tapi kewajaran itu tak sampai kerana dibelenggu oleh emosi yang terlalu sakit.kita yang sedang berdiri pada garis umum,hidup dalam gambaran yang tak lari jauh daripada fitrah,sukar untuk mengerti bahawa apa yang akal mahu tak selalunya apa yang akal mampu kerana di sebelah sana,di dunia bilamana hakikat adalah tunggang-terbalik dan haru-biru,untuk melaluinya tidaklah semudah kata-kata.kalau kita nilai dengan adil,adalah sukar seseorang yang pandangannya sentiasa disaji dengan keburukan mahu melihat keindahan.kita boleh cakap macam-macam,tapi realiti bukanlah semurah kata-kata.

sudut yang selalu jatuh pada titik buta dalam pandangan logik masyarakat,itulah yang gua suka bila ia diteroka.ruang jiwa,ruang rasa,bila kenyataan menyanggah logik,emosi menyanggah fikiran.setiapkali kita bercakap tentang 'ayah tetap ayah','ibu tetap ibu' atau apa-apa yang sama di dalam konteksnya kepada mereka yang gagal menyuburkan rasa kasih dan hormat kepada orang tua mereka,di situlah sesungguhnya letak segala kepahitan.untuk menerima bahawa seorang insan yang telah menyakitkan kita,melukakan kita,menjadikan hidup kita sebuah hidup yang perit dilalui sebenarnya adalah insan yang paling mulia dan paling tinggi kedudukannya di dalam dunia........bercakap memang cukup senang,tapi melaksana?kerana itu gua katakan,dalam hidup ini,kemahuan akal tak selalunya selari dengan kebenaran yang terpaksa ditanggung oleh hati.

gua bukan mahu membela kebencian,kesakitan,tindak-tanduk yang menyimpang dari ketetapan,cuma gua mahu tekankan bahawa bukan segala-galanya dalam dunia ini berlaku berteras kepada rasional.kita biasanya akan ambil satu situasi orang lain untuk dilihat dan kemudian mungkin akan mencemuh pada tindakan yang kita rasakan salah.tapi kita jarang-jarang mahu ambil satu situasi orang lain untuk meletakkan diri kita di kedudukan mereka dan bayangkan dengan jujur apa yang mungkin mereka rasa pada ketika mereka bertindak dengan cara salah.garis pemisah di antara melihat dengan menghadapi.kalau tak takkan ada pepatah 'berat mata memandang,berat lagi bahu yang memikul'.kita takkan tahu seberat mana sesuatu beban sehingga kita memikulnya sendiri.jadi,jangan terlalu angkuh.andaikata kita bertuah dilahirkan dalam kehidupan yang baik,bersyukur sajalah kerana di dunia sebelah sana,ada insan yang hidup sengsara menghadapi dunia yang penuh kesedihan dan kesakitan.

mungkin sebenarnya,apa yang gua mahu adalah untuk membuka jiwa membawa kita melihat sudut yang lebih luas daripada kekangan rasional dan normaliti akal,tapi taklah sampai ke tahap mahu menghayati naluri hitam tanpa peri kemanusiaan,melayan fetish membunuh dan meratah daging kanak-kanak.itu biol.toleransi dan pengertian pun perlu ada batas.menyimpang sikit daripada topik,walau gua cuba faham dengan ikhlas,gua masih tak mampu untuk bayangkan apa yang ada di benak mereka yang berimaginasi perkara-perkara macam ni.bukan pasal pembunuhan,pasal minat pada fiksyen bergenre seram,sebab dari sudut itu gua sendiri adalah peminat fiksyen bercorak macam tu dan setakat nak tengok gambar mayat reput,gambar darah,bukan satu hal besar pun tapi apa yang pada gua mengganggu ialah macam mana seseorang sanggup membenarkan akal membayangkan kanak-kanak yang comel dan suci dibunuh,disembelih,dikerat-kerat,dan dimasak untuk dimakan....seriously?kanak-kanak,budak kecil,yang kita tengok riang bermain,yang kita rasa nak peluk nak cium,nak lindungi,sungguh-sungguh jujurkah anda sebagai seorang manusia tergamak membayangkan mereka dibunuh tanpa peri kemanusiaan?sungguh-sungguh,jujurkah di dalam hati anda sezalim itu membenarkan imaginasi sedemikian bermain di kepala?kalau jawapan jujurnya adalah ya maka percayalah,ada sesuatu yang tak kena pada hati anda.

bila gua fikir,rasanya ia tak menyimpang jauh sangat daripada topik.masih berkisar tentang angkuh dan melihat tanpa pengertian sebab masih tetap,kata-kata dan imaginasi adalah terlalu murah berbanding dengan realiti.mungkin hanya tentang wadah yang berbeza.gua lebih suka untuk meneroka keinsanan pada diri,cahaya azali yang ada pada fitrah tapi dikelabui oleh kekotoran dunia.buang kekejaman,kebencian,dendam,gali naluri halus dan kemudian benarkan jiwa untuk merasa dengan seluhur-luhurnya.sesuatu yang kedengaran sangat klise dan mudah,tapi kebenarannya paling mencabar dan susah.apa-apapun,cukup untuk sekadar ingat,apa yang kita cemuhkan,apa yang kita ketawakan,apa yang kita jadikan bahan gurauan tanpa perasaan,atau bahan cacian tanpa belas ihsan,boleh berlaku pada kita bila-bila masa.nanti baru kita tahu,langit tinggi atau rendah.heh.teringat gua pernah cakap dengan selamba kenapalah pesakit kanser nak susah-susah berubat padahal dah tahu kalau kena kanser tu mesti akan mati sudahnya dan kemudian ditakdirkan tuhan ayah gua sendiri menghidap kanser.nah,ambik lu!!hahaha..

ok.dah habis.

MENYANGGAH FITRAH

DI ATAS ALIRAN DUNIA
ARUS YANG MENYUSUR FITRAH
MENYIMPANG TAKDIR INI
MENENTANG LALUAN NURANI

PADA MENTARI YANG BERSINAR
MALAM PULA YANG MENYINGGAH
DAN GHAIB DI MATA MEREKA
HINGGA TIDAK PERNAH IA MENJELMA
LALU TAK PERNAH ADA
HIDUP DALAM KENAFIAN

DI MANA NILAI KEWARASANNYA?
BILA KU BENTANG MENJADI TERBUKA
CUBA MELETAK SATU BACAAN PASTI
SEDANG SEGALANYA INI
DI LUAR SEGENAP AKAL NALURI

SAAT SUNGAI YANG MENGALUN
BERUNDUR BERPATAH KE LANGIT
DAN HUJAN YANG MENYIMBAH
TAK PERNAH MEMBASAHI BUMI
SEGALA YANG TERJADI
TAK PERNAH ADA ISTILAHNYA LAGI

MENGAPA ADA PERCANGGAHAN
SURATAN YANG MEMESONG KETETAPAN
IA ADA DALAM TIADA
SEDANG RAUT YANG DINGIN
MEMAKU UDARA KEBENARAN

MENJEJAK WAKTU YANG MELANGKAU MASA
DAN JAUH DI ATAS TAKDIR DI KEAWANGAN
TIDAK BERSENTUHAN
TIDAK BERHUBUNGAN
..SENDIRI...

APAKAH KEJELASANNYA
BILA SESUATU YANG TIDAK WUJUD
NAMUN WUJUD
MAKA BAGAIMANA UNTUK DIMENGERTI
UNTUK MEMBERI ERTI
JIKA ERTI ITU SENDIRI
BELUM LAGI PUNYA ERTI?

(20/3/06)

DI LUAR TAFSIRMU

BILA SAMPAI MASANYA
KAU AKAN TAHU
KENAPA IA BEGITU
KENAPA IA BEGINI
JANGAN MENYEKSAKU
JIKA AKU BEGINI
KERANA INI YANG DIBERI
TANPA AKU PINTA
AKU KAN GAPAI PERMATA
DIJADIKAN CINCIN
MENGHIASI JEMARIKU
ATAU DIJADIKAN KALUNG
MENYERIKAN PAKAIANKU
JANGANLAH MARAHKAN AKU
KERANA AKU JUA
BERHAK MEMILIKINYA
TIDAKKAH KAU SAYANG
ANDAI DIRIKU
TERHAPUS BEGITU

BEZAKANLAH
ANTARA RASA DAN JIWA
ANTARA AKAL DAN HATI
HARUS KAU FAHAMI
RASA BERKATA KEINDAHAN
TETAPI HATI MENANGGUNG KECELAKAAN
AKAL BERSUARA KEMULIAAN
TETAPI JIWA MENANGGUNG KEKEJAMAN
BERTARUNGLAH KEDUA-DUANYA
DAN TEWASLAH KEDUA-DUANYA
BERKUBUR DAN HILANG

MAAFKAN DIRIKU INI
KERANA MENJADI SEBEGINI
JANGAN TERUS MENGEJI
KERANA KAU PERLU MENGERTI

(1998)

2 ulasan:

In transit berkata...

"We choose our joys and sorrows long before we experience them..."

broken_nigina berkata...

pasti?