Kes pembuangan bayi bukanlah sesuatu yang baru bagi masyarakat malah gejala yang tidak bermoral ini berlanjutan hingga ke hari ini. Zaman semakin maju, mentaliti dan tahap kematangan rakyat juga terus meningkat seiring dengan perkembangan semasa, tetapi kenapa perbuatan tidak bertamadun dan berperikemanusiaan seperti ini masih boleh membelenggu rakyat Malaysia dan realiti yang menyedihkan, rata-rata yang terjebak melakukan perkara sekejam itu adalah masyarakat Melayu yang beragama Islam.
Berita daripada Harian Metro bertarikh 15 Julai 2006 yang saya letakkan di sini hanyalah secebis dari rentetan peristiwa menyaksikan apa yang ingin saya sifatkan sebagai wabak kebinatangan yang masih terus berpanjangan menyerang manusia walaupun mungkin pada waktu ini bukanlah menjadi isu utama tumpuan masyarakat dan media. Mungkin ramai yang beranggapan bahawa isu sebegini sudah basi dan terlalu biasa untuk dibangkitkan berbanding isu-isu lain yang lebih besar dan panas pada waktu semasa justeru ia tidak perlu dipanjang-lebarkan kerana perhatian masyarakat tidak lagi begitu tertumpu pada permasalahan lapuk yang sudah melepasi ‘zaman hangat’nya ini. Walaubagaimanapun, suramnya perhatian dan basinya isu bukan bermakna ia sudah tiada malah saya agak cuak kerana pada masa kita sibuk memperkatakan tentang mentaliti rakyat yang moden dan terkedepan, perkara sebegini masih boleh berlaku di era globalisasi ini. Seorang bayi comel yang tidak berdosa disumbatkan ke dalam guni dan dibiarkan menyabung nyawa selama sembilan jam di dalam tandas oleh ibunya sendiri sebaik sahaja dilahirkan. Apakah rasional yang boleh menjelaskan perilaku sebegini?
Punca kenapa kes pembuangan bayi berlaku bukan menjadi satu teka-teki. Umum mengetahui kebanyakan bayi menjadi mangsa buangan disebabkan oleh status luar nikah bayi tersebut yang meletakkan mereka sebagai anak yang tidak diingini. Jika tidak, desakan hidup dan tekanan sekeliling berpunca daripada institusi kekeluargaan yang pincang dan juga kemiskinan turut menjadi penyebabnya. Jalan pintas untuk keluar daripada masalah tersebut, buang saja bayi yang dilahirkan di mana-mana. Kejam? Ya, kekejaman perbuatan tersebut tidak memerlukan orang bijak pandai untuk menilainya. Sesiapa sahaja yang punya hati perut pasti dengan penuh kesal mengutuk perbuatan yang tidak boleh diterima oleh akal yang waras ini.
Punca kenapa dan siapa yang melakukan perbuatan hina ini sudah kalis diulang-ulang dan diperdengarkan malah ia sudah begitu umum menjadi lambang pada keruntuhan peradaban dan nilai moral masyarakat justeru tidak perlulah bagi seorang wartawan terus-menerus menekankan apa yang sudah terang lagi bersuluh. Saya tidak terpanggil untuk mengupas tentang kekejaman perilaku ini atau status bayi yang dibuang sebaliknya ingin membawa pembaca melihat ke dalam permasalahan sebegini dan cuba mencari rasional bagi meletakkan perspektif yang lebih terarah kepada mereka di dalam menilai isu yang melanda. Kita tahu tentang hukum dari segi agama dan undang-undang, penilaian dari sudut moral dan kemanusiaan tentang pembuangan bayi tetapi bagaimana pula dengan pandangan dari sudut psikologi dan kaunseling? Saya rasa menjadi wartawan yang baik bukan sekadar menyampaikan berita yang besar dan hangat tetapi harus boleh mendidik dan membawa pembaca berfikir maka tidak wajar berita tentang pembuangan bayi tak berdosa ini dihentikan setakat itu sahaja sebaliknya perlu ada berita susulan yang mana di sini saya sasarkan untuk merangkumi aspek psikologi dan kaunseling supaya ia boleh berkembang melalui cekupan yang berbeza tetapi masih lagi berkisar tentang isu.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui empat badan utama iaitu Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKMM), Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) serta Institut Sosial Malaysia (ISM) merupakan pihak berwajib yang memikul tanggungjawab bagi menangani segala permasalahan yang melibatkan kebajikan masyarakat. Bagi kes sebegini iaitu apabila bayi dibuang dan tidak dituntut oleh keluarga atau saudara mara maka bayi tersebut akan diletakkan di bawah perlindungan JKMM melalui rumah kanak-kanak yang disediakan. Bayi-bayi malang di bawah jagaan JKMM ini terbuka untuk dijadikan anak angkat bagi pemohon yang memohon kepada pihak JKMM dan akan diserahkan kepada pasangan yang mematuhi syarat JKMM demi menjamin kesejahteraan dan masa depan mereka.
Pegawai kaunselor di JKMM, Pn. Roszita Ali yang saya temui menjelaskan bahawa JKMM berperanan melindungi kebajikan anak-anak ini dan dengan sebaiknya mencuba untuk memberi peluang kepada mereka mendapatkan kehidupan berkeluarga sambil dalam masa yang sama membantu pasangan yang tidak dikurniakan zuriat untuk memiliki anak angkat yang mereka hajati. Walaubagaimanapun, hanya bayi yang berusia dua tahun ke bawah sahaja yang diluluskan untuk dijadikan anak angkat bagi pasangan yang layak. Ini bagi mengelakkan timbulnya masalah penyesuaian diri anak-anak terbabit dengan keluarga angkat sekiranya usia mereka telah meningkat. Hak anak-anak terbuang ini dibela oleh JKMM dan JKMM akan memastikan mereka mendapat segala keperluan dan sekiranya tidak dijadikan anak angkat, mereka akan dibesarkan di rumah kanak-kanak di bawah pengurusan JKMM.
Tetapi, terhad setakat itu sahajakah perkhidmatan yang diberikan oleh KPWM melalui JKMM dan badan-badan lain di bawahnya bagi membantu menangani permasalahan yang mencetuskan kepincangan di dalam institusi kekeluargaan ini? Menjawab persoalan tersebut, Pn. Roszita menjelaskan bahawa penubuhan badan kaunseling dan psikologi di bawah jabatan-jabatan kelolaan KPWM jelas menunjukkan kesungguhan KPWM di dalam memberi perkhidmatan yang menyeluruh ke arah pembangunan sahsiah masyarakat di mana ia tidak hanya terhad kepada bantuan fizikal semata-mata sebaliknya turut merangkumi pembangunan psikologi dan rohaniah.
Di bawah JPW, terdapat unit kaunseling yang berperanan untuk memberikan khidmat nasihat dan kaunseling kepada kaum wanita yang bermasalah. Penubuhan unit ini adalah bertujuan untuk membantu wanita yang bermasalah supaya menguasai diri dan menemukan jalan penyelesaian terbaik kepada segala masalah yang mereka hadapi. Ini termasuklah permasalahan kandungan luar nikah yang mencetuskan kecelaruan jiwa. JPW dengan kerjasama pertubuhan-pertubuhan kendaliannya turut menyediakan pusat perlindungan wanita yang berfungsi melindungi wanita-wanita sebegini agar mendapat peluang dan hak mereka daripada terus menerima tekanan masyarakat luar.
Menyentuh tentang peluang dan hak inilah yang memanggil saya untuk lebih mendalami situasi ini. Apakah yang dimaksudkan dengan peluang dan hak bagi wanita bermasalah yang mengandung anak luar nikah? Menyebut anak luar nikah sahaja, minda masyarakat terdorong memikirkan tentang gejala sosial dan maksiat, justeru kenapa hal sedemikian perlu untuk diberi perlindungan dan hak sedangkan sewajarnya ia menjadi ancaman kepada seluruh rakyat? Persoalan yang saya kira amat menarik dan perlu dikupas untuk kefahaman bersama masyarakat.
Pn. Roszita menjelaskan bahawa memberi perlindungan kepada golongan wanita yang bermasalah ini bukan bermaksud menghalalkan perbuatan mereka sebaliknya menyediakan jalan terbaik bagi memecah kebuntuan yang tercetus. Di sini, bukanlah mahu menyalahkan masyarakat tetapi adakalanya kecaman yang tiada kompromi daripada masyarakat seolah-olah menutup ruang kepada wanita yang mengandung anak di luar nikah sehingga tidak memberikan mereka sebarang pilihan selain mengambil jalan pintas membunuh kandungan yang tidak berdosa dan sudah tentu apa yang lebih menyayat hati adalah melahirkan anak tanpa kerelaan dan akhirnya hanya membuang bayi tersebut sebagai penyelesaian singkat masalah yang sememangnya merupakan tindakan amat zalim dan hina.
JPW bukanlah membenarkan gejala sosial yang mencipta masalah ini malah dengan tegas menentangnya tetapi adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk membimbing wanita-wanita terbabit sebagai melindungi mereka dan juga kandungan yang tidak berdosa itu. Tanggapan serong yang cenderung untuk mengecam dan memulaukan wanita-wanita sebegini menyebabkan mereka terumbang-ambing tanpa panduan sedangkan harus diingat bahawa tidak semua wanita yang terlibat adalah mereka yang liar dan jahat sebaliknya ada yang teraniaya menjadi mangsa rogol, sumbang mahram, penipuan serta tersepit dalam kemelut kemiskinan dan desakan hidup yang memuncak. Mengandung anak di luar nikah bukanlah atas kerelaan mereka sendiri malah, dalam sesetengah kes, wanita yang sudah berkahwin juga adakalanya cenderung untuk membuang bayi sendiri akibat tekanan perasaan setelah didera dan ditinggalkan terkontang-kanting oleh suami yang tidak bertanggungjawab.
Golongan wanita terbabit ini berhadapan dengan dilema yang membawa konflik besar di dalam jiwa mereka. Apa yang masyarakat perlu faham di sini adalah, tekanan dan kecaman yang bertubi-tubi tidak akan membawa sebarang kebaikan sebaliknya hanya menyebabkan mereka terus dihimpit kemelut berlarutan sehingga mengganggu pemikiran dan tekanan yang terlalu besar sebegini sebenarnya boleh menjejaskan rasional dalam diri seseorang. Dalam erti kata lain, situasi ini sangat mempengaruhi jiwa dan akal yang membawa kepada berlakunya masalah gangguan jiwa dan kemurungan.
Bercakap dari aspek psikologi dan kaunseling, golongan wanita sedemikian berada di bawah tekanan yang amat tinggi dan tahap rasional mereka tidak berada pada keadaan yang normal. Ada di kalangan mereka berhadapan dengan tekanan keluarga, dibuang dan dipulaukan lalu terpaksa terumbang-ambing sendirian menghadapi tekanan lebih besar dari masyarakat luar. Sungguhpun ini berpunca daripada diri mereka sendiri tetapi berhadapan dengan tuduhan dan pandangan serong daripada dunia luar adalah satu desakan yang meruncing dan membawa pergolakan jiwa tanpa kesudahan.
Seseorang yang berada di bawah pengaruh tekanan dan apalagi sekiranya tekanan itu telah memuncak kepada kemurungan mendorong mereka untuk bertindak secara tidak rasional dan waras. Apa yang dimaksudkan di sini ialah mereka yang terlibat ini bukan berada dalam keadaan yang benar-benar stabil kerana kemurungan sebenarnya merupakan satu penyakit jiwa yang mengganggu akal dan sistem kawalan tindak-tanduk. Gangguan jiwa dan kemurungan ini tidak bermaksud gila sepenuhnya tetapi situasi ini boleh menggagalkan mereka daripada berfikir seperti biasa sehingga mempengaruhi setiap keputusan dan gerak-geri yang diambil. Ia melahirkan kegelisahan, ketakutan yang kronik, kerungsingan serta putus asa yang akhirnya mendorong kepada satu perlakuan yang tidak dapat dijelaskan dengan akal yang waras. Menggugurkan kandungan atau membuang bayi yang dilahirkan menjadi jalan akhir mereka malah di bawah pengaruh kemurungan yang semakin kronik, mereka boleh terdorong sehingga nekad mengambil keputusan ekstrim untuk membunuh bayi yang dilahirkan dan juga membunuh diri sendiri.
Kekejaman sebegini tidak patut direlakan sama sekali tetapi apa yang perlu masyarakat faham adalah kedudukan psikologi Si Pelaku di mana ia tidak berkeadaan normal dan tindakan tidak masuk akal lagi zalim ini adakalanya bukan sesuatu yang dilakukan secara rela oleh minda yang sedar sebaliknya lebih merupakan gerak-geri di luar kawal apabila berada dalam keadaan yang mampu melenyapkan fungsi akal dan pertimbangan. Ini tidak memaafkan perbuatan mereka tetapi dari sudut psikologi, jiwa yang penuh konflik dan murung tidak boleh dikira sebagai waras dan ia tidak menjelaskan keperibadian yang sebenar justeru melabelkan mereka sebagai kejam adalah tidak tepat kerana mereka bukan diri sendiri apabila gagal menggunakan fikiran dan akal.
Tidak dinafikan mereka yang bersalah wajar menerima akibat di atas perkara yang berlaku namun menghukum dan menyelar dengan penuh prejudis jelasnya tidak menguntungkan sesiapa malah hanya memburukkan keadaan dan yang teraniaya dalam keadaan ini adalah bayi yang langsung tidak berdosa. Perkhidmatan kaunseling yang disediakan oleh KPWM melalui badan-badan di bawahnya terutamanya unit kaunseling JPW menjadi pembuka jalan untuk memberikan lebih pilihan kepada wanita terlibat supaya tidak melakukan perbuatan yang lebih teruk seperti menggugurkan kandungan apa lagi membuang bayi yang dilahirkan kerana bayi-bayi tersebut tidak bersalah dan berhak untuk hidup. Unit kaunseling JPW dibuka kepada wanita bermasalah yang memerlukan bantuan dan pewujudan pusat-pusat pemulihan serta perlindungan wanita di setiap negeri memperuntukkan tempat bagi wanita yang mengandung anak luar nikah dan terabai untuk berlindung sehingga melahirkan anak. Melalui unit kaunseling inilah mereka dihubungkan dengan agensi-agensi dan pusat perlindungan yang dapat memberikan bantuan perlu kepada mereka. Pusat-pusat ini menyediakan wanita-wanita bermasalah peluang dan sokongan serta tempat tinggal dan penjagaan bagi meneruskan kandungan daripada ditekan dan dikecam malah mereka turut diberikan bimbingan kaunseling dan motivasi menerusi pusat-pusat perlindungan tersebut agar dapat kembali ke pangkal jalan seterusnya membina hidup baru yang lebih baik dan sempurna. Apa yang penting, mereka haruslah ke hadapan mendapatkan bantuan melalui JPW kerana masih ada alternatif lain bagi menyelesaikan masalah yang ditanggung dan Pusat Pembangunan Wanita yang mewakili JPW disediakan di setiap negeri khusus untuk kemudahan mereka.
Kesimpulannya, setiap kesilapan dan kepincangan yang berlaku dalam masyarakat sebenarnya tidak perlu diakhiri dengan tragedi dan cerita sedih sedangkan memberi penerimaan dan peluang kepada mereka untuk memperbaiki kesilapan sebaliknya boleh memecah kebuntuan dan membawa perubahan yang lebih positif bagi semua pihak. Mencegah lebih baik daripada merawat tetapi kecaman dan cemuhan juga tidak akan menyelesaikan masalah. Walaubagaimanapun, tidak ramai yang maklum dan faham tentang peranan serta hak baik masyarakat mahupun wanita-wanita yang terlibat sehingga membataskan keputusan dan mereka tidak tahu bagaimana untuk ke depan bagi mendapatkan bantuan selain terus terumbang-ambing dalam tekanan sementara masyarakat pula terus memulaukan mereka dengan penuh prejudis jadi saya rasa tepatlah menyediakan berita susulan daripada kejadian pembuangan bayi ini yang mendedahkan lebih banyak maklumat dari aspek psikologi dan juga perkhidmatan pihak KPWM berhubung isu yang berbangkit hasil daripada temubual bersama Pn. Roszita Ali, Pegawai Kaunselor di JKMM. Masyarakat yang berhadapan dengan masalah berbentuk kekeluargaan dan kebajikan hidup boleh menghubungi jabatan-jabatan di bawah KPWM seperti yang disenaraikan melalui cawangan berdekatan dan pihak bertanggungjawab ini akan membantu meringankan beban mereka mengikut kelayakan dan syarat-syarat yang ditetapkan sementara khidmat nasihat dan kaunseling pula diberikan secara percuma bagi semua yang bermasalah dalam perkara di bawah bidang mereka.
(hak cipta terpelihara.artikel ditulis oleh gua..tapi temubual tu adalah rekaan semata-mata.sebenarnyer gua cuma wat kat umah dan mengkelentongkan lecturer seolah-olah gua kuar pegi interview)

Tiada ulasan:
Catat Ulasan