Khamis, Ogos 09, 2007

Di Sebalik Pintu

Di sebalik pintu
Tangisan itu berlagu
Di sebalik istana
Segala-galanya terkunci
Sebuah catatan
Sebuah kebisuan
Mengisi diari usia
Detik-detik yang menjadi tahun
Rebung-rebung yang menjadi buluh
Dan kainpun tercorak
Menjadi warna yang celaru
Dalam himpitan waktu

Di sebalik pintu
Ia menjadi saksi
Pelunturan harapan
Airmata dan sepi

Di sebalik pintu
Ia menyimpan erti
Satu kesilapan, satu keabaian
Mengundang bertahun-tahun dalam kesesatan

Harapan yang tersalah haluan
Menghukum penitian bayi yang merangkak
Penglihatan yang hanya melihat kesempurnaan
Penglihatan yang hanya melihat
Apa yang mahu dilihatnya

Kerana perjanjian
Dua jiwa yang bersatu

Mencipta kehidupan baru
Membuka buku dengan suratan
Bersama pena di tangan
Dan kegoyahan
Lalu menghasil cerita yang pincang

Tangisan itu berlagu
Di sebalik pintu
Dan rebungpun telah menjadi buluh
Lalu rahsia akan terbentang
Di sebalik pintu

(1999)

Tiada ulasan: