Sabtu, Disember 23, 2006

Surat-Sebelas-4

(...........,)
Apakah yang sedang kau lakukan saat ini dan apakah yang bermain di fikiran kau hari-hari ini? Ah.... Sedar tak sedar, dah terpinggir rupanya aku dari semua tu. Takkah kau tahu, masa telah merubah segala-galanya?
(...........,), Sekali-sekala, bila ada waktu aku masih jua mengingati segala peristiwa yang pernah aku lalui bersama kau suatu detik dulu. Aku tak pernah menghitung masa tapi antara sedar dan tidak terbukti bahawa kita telahpun perlahan-lahan ditinggalkan hari.Hari demi beredar dan episod yang menemukan kita bersama juga dah berakhir. Benar, kan? Kita telah melangkah ke lembaran baru. Dan lembaran baru ini akan menyingkirkan cerita semalam. Itulah hakikatnya yang pasti.
Sesungguhnya, waktu telah menjanjikan perubahan dan setiap kisah yang berlaku pasti akan berlalu. Aku dapat rasakan waktu ketika kau hampir dengan aku dan walaupun aku tak memikirkan tentangnya namun aku tetap dapat rasa bila kau berada jauh dari aku hari ni.
(...........,)
Aku masih tak mampu ungkapkan nilai kehadiran kau dalam hidup aku. Andainya aku merasakan kehilangan, apakah pernah waktu di mana aku memiliki kau berlaku? Aku tetap tak mampu sifatkan itu. Kau misteri.... Aku yang menulis dan mengarang tentang misteri itu seadanya. Namun (...........,), walau apa sekalipun yang terjadi, aku tetap menghargai kau seperti selalunya kerana aku masih percaya yang kau mengerti hati aku. Hanya kau.... Aku percaya....
Saat ini, kerana waktu telah mengizinkan aku sekali lagi berkesempatan kembali ke kamar ini. Segala-galanya masih seperti dulu. Mungkin kerana ini kamarku. Hanya di kamar ini segalanya terus sama. Satu-satunya tempat di mana tiada apa yang akan berubah dan berlalu. Tempat ini tempat untuk aku menjadi ‘AKU’.
(...........,), Aku mahu kau tahu. Aku terlalu mencintai kamar ini. Bila aku berada di dalamnya, aku telah bersatu bersama jiwa itu untuk pulang ke asal-usul aku. Adakah kau mengerti, (...........,)? Inilah dunia aku yang sejati! Dunia peribadi yang memberikan aku kehidupan.
Dalam realiti, aku mengetuk masuk bersaing dengan manusia mengejar masa depan. Sepanjang waktu itu aku hanya menjeling kosong pada kenangan yang aku langkahi sepanjang perjalanan aku. Bila aku pulang ke kamar, barulah aku kembali menghayati, melihat dan mengerti aturan hidup ni. Apa yang datang, apa yang hilang.... Aku belajar mentafsir dengan sepenuh perasaan erti semua itu. Aku tenang, aku selesa di sini. Di tempat yang jauh dari semua orang dan aku tak perlu berpura apa-apa lagi di dalamnya. Padanya, aku tak perlu meluahkan apa-apa. Ia hanya mengerti, memahami apa yang aku tempuhi dan mengetahui apa yang aku rasai.
(...........,)
Dari luaran, mungkin aku seolah-olah memiliki segala-galanya namun jauh di sebalik semua tu aku sebenarnya tak punya apa-apa. Apa yang setia menemani aku hanyalah kamar sepi ini. Inilah satu-satunya tempat aku mencari ketenangan, melarikan diri dari mereka yang mahu menyakiti. Aku tak kisah untuk berkorban kepentingan yang lain tapi kamar yang satu ni tolonglah jangan cerobohi.
(...........,), Masa sebenarnya sentiasa menyerlahkan hakikat sesuatu perkara. Ternyata, hari-hari yang berlalu semakin menjelaskan realiti hidup ini. Aku telah menerima segala-galanya dengan terbuka. Segala apa yang berlaku, takkan indah untuk selama-lamanya. Akhirnya akan ketara juga bahawa minyak memang tak mungkin bercampur dengan air. Dan aku, tak mungkin menjemput orang luar menjadi penghuni dunia aku, kerana aku dan mereka adalah sangat berbeza.
Selama ni aku tak pernah begitu kesal dengan keputusan yang aku lakukan namun sekali ini, aku sememangnya tak harus membawa mereka itu datang ke dunia aku. Itulah kesilapan yang cukup aku kesali bila ia berlaku. Mereka takkan mampu menghayati realiti itu. Aku yang dilahirkan di sini, dewasa di sini, mengharungi kehidupan di sini dan hanya aku bersama mereka yang tahu mampu untuk mengerti. Segala-gala yang tersimpan, segala-gala yang tersembunyi. Sesungguhnya hanya aku yang melalui semua itu.
Aku tak pernah mementingkan diri sendiri. Betul, aku tak pernah memencilkan orang lain demi mencari keuntungan semata-mata untuk diri aku sendiri cuma aku dilahirkan dan dibentuk men jadi seorang yang sentiasa menyendiri seperti ini.
Aku tak tahu kenapa perjalanan hidup aku macam ni. Sebelum dilahirkan sebagai manusia dalam dunia ni, aku tak pernah memilih dan menulis kisah hidup aku sendiri. Aku ditakdirkan hidup dalam suasana yang bisu dan begitulah diri aku yang sebenar. Aku tak berniat nak memulaukan sesiapa tapi aku dah lama hidup dalam dunia yang berbeza dari mereka.
Mereka mampu melihat dengan gambaran kasar dan dengan gambaran kasar itu mereka betah membuat satu kesimpulan yang mereka rasakan tepat berdasarkan andaian sendiri tapi mereka silap kerana terlupa sesuatu. Hati naluri manusia bukan suatu fakta yang boleh dicongak dengan formula tertentu untuk dapatkan jawapan. Untuk mengerti hati, mereka perlu menggunakan hati sedangkan akal hanya terbatas pada pemikiran yang logik yang datang dalam keadaan sepenuhnya waras.. Ia kaku untuk merasai, menikmati dan menghalusi. Kita merasa dengan hati, menikmati dengan perasaan, menghalusi dengan naluri. Hanya dengan menggunakan semua tu sepenuhnya baru kita dapat menghayati hakikat sesuatu. Bukan sekadar melihat, cuba membuat ulasan malah mempertikai dari persepsi sendiri tetapi menyelami, mengerti dengan ikhlas untuk merasakan sendiri segala-gala yang tersurat dan juga yang tersirat.
(...........,)
Betapa aku senang bila kau seolah-olah satu dengan aku. Aku suka kesedihan yang ada dalam mata kau dan aku kagum dengan kesepian di setiap kata-kata kau. Aku tahu, kau mungkin tak pernah terlintas untuk memberikan aku kemesraan itu tapi sekalipun kau hanya berpura-pura, aku tak kisah kerana aku gembira bila setiapkali aku melihat mata kau, aku seolah-olah melihat mata aku sendiri. Hakikatnya, dalam dunia ini, kau dan aku tak ada kena mengena tapi dari kegelapan jiwa itu, aku tahu kau juga tahu realiti kesunyian ini. Aku dah terlalu lama menantikan kehadiran seperti kau, yang mampu menilai aku seperti yang aku perlukan namun apapun yang berlaku, biarlah hanya kita saja yang tahu....
AKU!

Tiada ulasan: