Khamis, Disember 21, 2006

Surat-Sebelas-2

(...........,)
Maafkan aku kerana menulis surat yang kedua untuk kau di dalam lembaran ini.... Seperti yang aku katakan, aku cuma perlukan teman....
(...........,), Aku sedar, aku sebenarnya terperangkap dalam diri sendiri. Aku tahu, aku tenggelam dalam persoalan yang terlalu banyak dan aku jadi keliru bila aku tak mampu berikan jawapan sepertimana yang aku perlukan. Aku memerhati manusia dan aku menjadi pelik dengan mereka. Bila aku memahami mereka, aku rasa mereka semakin janggal dan terasing. Semakin aku mengenali mereka, semakin aku terasa kerenggangan yang wujud. Semakin lama, aku semakin tak mampu menghayati kehadiran mereka dan aku semakin tak beremosi.
Aku sedar sedikit demi sedikit perubahan yang berlaku pada diri aku. Tahun demi tahun jiwa aku seperti terhakis oleh keadaan dan masa. Sedikit demi sedikit jiwa aku jadi lusuh, jadi pudar. Hati yang asalnya dipernuhi pelbagai warna jadi semakin luntur sampai yang tinggal hanyalah hitam semata-mata.... Hitam yang takkan ada kesannya lagi walau apapun yang datang.. Dan aku jadi tak ubah macam sebuah kegelapan yang dah tak punya pengertiannya lagi.
Hidup aku hari ni bukan lagi sebuah hidup yang diisi dengan segala nilai kehidupan yang sejati. Apa yang ada dalam diri aku cuma pendirian dan arah tuju yang terbentang untuk aku lalui. Antara masa depan dan sejarah, aku kadang-kadang menoleh ke belakang dan selebihnya aku sekadar pandang ke hadapan mencari noktah pada segala yang berlangsung ini. Sampai masa, aku akan terkubur dan hilang ditelan masa.
(...........,)
Aku tak tahu bila hidup aku akan pulih seperti yang seharusnya berlaku atau samaada ia akan pulih atau tak. Aku tak mahu jadi benda hidup yang kaku dan beku. Aku harap hujan yang turun mengalir ke dalam untuk basahkan jiwa aku yang gersang. Aku harap cahaya yang menerangi meresap masuk untuk mencerahkan hati aku. Tapi entah kenapa.... Tiapkali hujan turun, yang basah cuma tubuh aku sedangkan jiwa aku tak mampu merasa apa-apa. Cahaya yang cerah bersinar itu juga hanya menerangi keliling aku, tapi tidak dalam diri aku. Bila aku menangis kerana kesakitan yang datang dalam hidup aku sekalipun, jauh di sudut hati aku sebenarnya hanya berasa kosong.... Berasa satu perasaan yang begitu tawar dan dingin..
Kerap kalinya, aku sering kelihatan cukup mudah menurut kehendak hati namun di sebalik semua tu, aku tak pernah rasa gembira. Apapun yang aku lakukan walau memberi gambaran apapun pada yang memandang, aku sebenarnya berasa hambar. Kadang-kadang aku wujudkan kemeriahan dan keriangan di sekeliling aku. Aku ciptakan kebebasan dan berlagak bodoh seolah-olah akal aku begitu cetek. Namun, hakikat yang sebenar-benarnya, aku hanya menikmati kebebasan yang pura-pura. Kebebasan yang aku lakonkan sendiri dan berlagak seolah-olah aku seronok berada dalam kebebasan yang sebegitu sedangkan aku terlalu berbeza dari apa yang aku jelmakan. Aku tak pernah suka, jauh lagi berbangga dengan segala ketaktentuan yang berlaku dalam hidup aku. Aku langsung tak megah dengan segala keriangan yang hanya memerangkap dan menjerut diri aku sendiri itu....
(...........,), Aku cuba laungkan keluar suara hati yang memberontak kat dalam ni. Tak ada ke yang tahu? Apa yang aku mahukan hanyalah kedamaian. Rindu yang aman, senyum yang luhur, yang terlalu aku hargai dalam hidup ni. Tak ada ke yang mengerti betapa di dalam hati ni aku merintih mengharapkan segala kepuraan itu berakhir. Walaupun aku tak pernah lari daripadanya namun aku tahu semua tu akan meninggalkan aku sendirian satu masa nanti.
Kadang-kadang, aku turutkan saja segala kebodohan yang mendatangkan keseronokan zahir namun aku tahu ianya tak menjanjikan apa-apa untuk aku. Aku tahu segala bisikan, segala pujian, segala kemanisan yang dipersembahkan untuk aku sebenarnya hanya topeng lakonan yang penuh dengan muslihat. Siapa kata aku tak tahu semua tu? Aku lebih dari mengerti apa yang tersimpan di sebalik setiap wajah mereka tapi aku berlagak macam tak faham. Aku tahu niat mereka yang sebenar cuma aku dah tak ada hati dan perasaan untuk ambil peduli lagi.
(...........,), Dalam dunia ni, tak ada manusia yang suka dikhianati, suka untuk musnah dan tersasar namun adakalanya manusia akan rasa jemu bila perkara yang seringkali dihindari itu asyik berlaku. Bila kedamaian yang aku rindukan itu juga dah hilang, apa bezanya lagi di antara kegembiraan yang diada-adakan dengan perasaan kosong yang aku rasakan? Aku sendiri tak mengerti apa sebenarnya perasaan aku. Makin hari aku aku makin tawar hati, makin suram, makin muram.
Aku sentiasa cuba mengelak daripada keburukan tetapi kerap kalinya keburukan itu seperti amat menyukai aku hinggakan apa yang aku buat tetap juga mengundang bencana. Apa yang aku usahakan, ikhtiarkan, akhirnya tetap juga berakhir dengan keburukan. Dan bila semua tu menjerut aku, akulah yang terpaksa memikul hukuman sendirian sedangkan aku sendiri dah tak sanggup lagi nak melihat kegagalan demi kegagalan mengeruhkan hidup aku. Aku yang dikecam, dituduh macam-macam seolah-olah aku yang sengaja merosakkan segala-galanya bila kedamaian yang aku harapkan sebaliknya berubah jadi kalut dan kucar-kacir. Aku terpaksa berperang dengan cemuhan-cemuhan yang dilemparkan dan tak ada sesiapapun yang percayakan aku.
(...........,)
Kalau aku yang bersusah-payah cuba dirikan sesuatu atas luka dan sakit-pedih seluruh kehidupan aku, apakah aku sendiri yang akan mahu semuanya runtuh dan musnah? Kalau aku yang mempertaruhkan seluruh masa depan dan pengharapan pada sesuatu hingga ia hampir membunuh jiwa aku, apakah aku sendiri yang akan minta segala-galanya hancur dan sia-sia? Aku juga manusia.... Aku juga nak lihat segala usaha mendatangkan hasil. Aku juga nak lihat apa yang aku miliki terus teguh berdiri. Tapi, dalam mengharapkan sesuatu yang baik untuk hidup itu, setiapkali itulah ada malapetaka yang berlaku.
Aku cuba mencapai bintang tapi tangga yang aku daki tiba-tiba runtuh. Aku nak ke seberang tapi dalam mengharungi lautan, datang ribut taufan yang memesongkan segala arah. Apakah sebenarnya salah aku? Adakah kerana aku mahukan bintang yang terlalu tinggi untuk aku? Adakah kerana aku ingin ke tempat yang terlalu jauh buat aku? Atau, adakah persediaan yang aku lakukan belum sempurna?
(...........,), Aku tak pernah putus asa walaupun terlalu banyak keburukan yang melanda. Aku cuba dan terus cuba walaupun harapan semakin nipis. Tangga yang runtuh tetap aku bina semula. Taufan yang memporak perandakan arah aku tetap aku cuba kalahkan. Aku terluka, tersungkur, namun aku tetap bertahan walaupun adakalanya aku sendiri dah rasa lemah. Untuk semua itu, aku terpaksa pula bergelut dengan kejian, terpaksa menepis semua pandangan yang menjatuhkan aku. Aku menggigil kedinginan dalam ketakutan namun tak ada sesiapa yang membela aku malah aku dibiarkan berjuang terumbang-ambing sendirian untuk menyembuhkan segala-galanya.... Tapi tak mengapa.. Aku pernah hilang arah, pernah tersasar, namun selagi hayat dikandung badan, aku pasti akan bangkit kembali....
AKU!

Tiada ulasan: