Isnin, Mac 17, 2008

Hanya Untuk Yang Mengerti

"Mungkin sesuatu yang perlu kau fahami. Bila aku berkata "pergi!", aku sebenarnya sedang meminta agar kau tak pergi. Aku rayu agar jangan tinggalkan aku, tapi aku rayu dengan sedaya-upaya cuba meletak engkau jauh. Lantas aku berdiri di tengah-tengah, di antara satu pintu terbuka dan satu lagi tertutup. Hanya soalan kita. Bila cahaya datang bersama kegelapan, akan bercahayakah kegelapan atau akan kegelapankah cahaya? Bayang sama di cermin, tapi sama itu adalah songsang. Mungkin sesuatu yang perlu kau fahami. Tapi, fahamkah engkau?
Manjaku itu mahu berlari. Kerasku itu mahu ditawani. Lihat saja langit. Lebih tinggi, lebih dekat untuk dijangkau dengan imaginasi. Lihat saja laut. Lebih dalam, lebih hampir untuk diselam dengan fantasi. Cuma realiti berjanji, satu kenyataan mudah saja kalau ia mahu memangkah seribu jangkaan.
Mungkin, hanya sesuatu yang perlu kau fahami, mungkin. Bila aku berkata "datang!", aku sebenarnya sedang meminta agar kau jangan datang. Aku rayu agar aku kau jauhi, tapi aku rayu dengan sedaya-upaya cuba meletak engkau hampir. Godaku itu mahu bersembunyi. Sombongku itu mahu diterokai. Maka harus kau mengerti aku. Mengerti tentang ertinya aku. Mengerti tentang erti mengerti aku. Adakah kau mengerti?
Mungkin sesuatu yang perlu kau fahami. Bila aku katakan mengerti, erti aku yang sebenar adalah kau tak perlu mengerti kerana andai kau mengerti, tiada erti itu sempurnanya bila ia tak dierti. Tolong mengerti. Lantaran aku mahu engkau, lantaran itu aku tak mahu engkau kerana aku tak mahu engkau mahu miliki aku kerana bila engkau mahu miliki aku bermakna engkau mahu kehilangan aku. Dan kehilangan itu bukan sesuatu yang aku mahu."

Tiada ulasan: