kita takleh paksa orang suka apa yang kita suka.kita takleh buat orang nampak keistimewaan yang kita nampak.tapi kengkadang,lebih banyak cerita-cerita dan percakapan sampah yang orang gebangkan.bercakap tentang benda yang kita sendiri belom cukup tau,belom cukup arif,belom cukup kenal.sampah,sampah dan sampah.sebenarnya ada istilah lain yang bermain dalam kepala gua tapi kerana gua rase diri gua terlalu tinggi untuk bercakap bahasa-bahasa *tuuut*,gua gunakan istilah yang lebih sopan iaitu sampah.memang menyampah dengan manusia yang bercakap tentang benda yang diorang belom kaji dulu betol-betol.tapi takpe la..biar luncai terjun dengan labu-labunyer..yang penting,di hati gua metal tetap rules..rock will never die!masih dan tetap pencinta muzik melayu..
..tapi,sekadar selingan..
..tapi,sekadar selingan..
Tak Merdeka
(www.lagendarock.com)
Zaman ini zaman milenium. Kita sudah 50 tahun merdeka. Sewajarnya kita sudah mampu berdiri teguh dengan produk kita sendiri. Atau setidak-tidaknya kita sudah tidak perlu terlalu bergantung kepada orang luar untuk berdiri. Merdeka bukan hanya dalam konteks negara tidak dijajah oleh negara yang lain, tapi lebih luas. Mungkin persoalan yang satu ini bunyinya remeh dan terpencil kalau nak dibandingkan dengan hal-hal yang lain tetapi siapa yang boleh menafikan sinonimnya dunia seni dengan jiwa masyarakat? Dunia seni menjadi sebahagian intipati masyarakat justeru seperti hal-hal lain yang dianggap lebih besar, dunia seni juga seharusnya dimerdekakan dan dipatriotikkan. Merdeka bukan bermakna bebas sebebas-bebasnya, dan patriotik juga bukan bermakna berdiri tegak menyanyikan lagu-lagu yang patriotik semata-mata. Tetapi tidak terpanggilkah kita bertanya pada diri sendiri, kita ini berada di negara siapa sekarang? Di radio saban hari, kita dengar lagu-lagu dari seberang. Begitu banyak hingga menenggelamkan lagu kita sendiri. TV yang kita tonton sehari-hari juga seakan sudah menjadi satu perkara yang wajib menayangkan rancangan-rancangan dari seberang.
Tidak cukup ke mana-mana saja kita pergi di dalam negara kita melihat warga seberang, sekarang media kita juga ‘dipenuhi’ mereka. Dalam hal ini, bukan prejudisme atau kenegaraan yang jadi isu. Kita tidak anti dengan mereka. Kita tidak membenci mereka. Tapi berbalik pada soal merdeka, kenapa perkara sebegini boleh dibiarkan berlaku dalam zaman yang serba moden ini? Kalau dulu mungkin sebelum minda kita bebas, orang kita taksub dengan produk-produk dari luar. Waktu itu mungkin kita masih dibelenggu dengan mentaliti ‘barang luar semuanya bagus, barang tempatan semuanya teruk’. Tapi itu zaman dulu, zaman semasa mentaliti kita masih sempit, zaman semasa kesedaran kita belum terbuka. Sekarang ini, adakah kita masih terperangkap di dalam zaman itu?
Kebanjiran produk dari seberang dah lama menjadi keluh kesah ramai penggiat seni tempatan. Masalah yang bukan menjadi masalah baru. Tetapi ramai juga yang cuba mempositifkan hal ini dengan menafikan ia bukannya satu masalah. Ia adalah persaingan yang sihat. Sesekali terasa kelakar dengan kenyataan segelintir penggiat seni yang begitu positif ini. Persaingan yang sihat? Persaingan yang sihat bagi siapa? Kalau artis tempatan bersaing secara adil dengan artis tempatan yang lain, tak mengapalah ia dipanggil persaingan yang sihat tapi sihat sangatkah persaingan di antara orang luar yang diberi publisiti berlebihan dengan artis tempatan yang terpaksa terkial-kial mencari tapak di dalam negara sendiri? Kita bukan budak-budak yang begitu senang boleh dimomok-momokkan dengan kenyataan sebegini. Ternyata persaingan sihat yang dimaksudkan oleh pihak-pihak ini lebih berperanan menyihatkan poket masing-masing. Tidak salah mahu mencari keuntungan, tetapi jangan sampai membutakan terus mata dan memekakkan terus telinga pada rintihan artis tempatan yang seakan-akan ditindas di negara sendiri. Persaingan itu memang perlu tapi perlukah sampai menutup peluang untuk orang kita sendiri?
Bila bercakap pasal isu ini, banyak reaksi yang boleh dilihat. Bagi yang menyokong kemasukan artis-artis seberang yang berleluasa ini, mereka senang menggunakan alasan bahawa artis Malaysia tidak bagus, lagu-lagu komposer kita tidak bagus. Malah artis Malaysia yang sudah ada nama besar sendiri senang merakamkan lagu-lagu gubahan komposer seberang. Senario yang seakan mencerminkan betapa tak bagusnya mutu muzik orang kita sendiri. Dengan melihat senario ini, kita seperti mahu percaya memang muzik tempatan tidak bagus tetapi benarkah kualiti muzik kita seteruk itu? Kita ada banyak bintang yang sudah lama bertapak di dalam industri yang diakui kemampuan mereka. Kita dibarisi banyak bintang baru yang punya potensi besar. Kita juga tidak tandus menghasilkan lagu-lagu yang masih mampu mendapat sambutan. Malah ada artis kita yang berjaya membawa muzik Malaysia ke negara luar. Secara logiknya, adilkah untuk kita label semua penggiat seni tempatan sebagai tidak bagus? Apa yang menjadi masalahnya apabila kita lebih senang menghentam segelintir artis tempatan yang dianggap tidak bagus sementara memejam mata pada mereka yang benar-benar bermutu. Kesannya, banyak artis kita yang melahirkan karya bagus tidak menerima pendedahan selayaknya sebaliknya boleh dikatakan semua artis dari seberang mendapat sokongan padu orang kita untuk dipromosi secara besar-besaran dan mendapat pendedahan seluas-luasnya di dalam media kita. Sekalipun karya mereka amat bermutu tinggi seperti yang dihebah-hebahkan oleh orang kita sendiri juga, apa perlunya bagi kita sehingga rela menggembeling tenaga membantu mengangkat mereka lalu memberi kelebihan bagi mereka menguasai dunia hiburan kita?
Perkataan bodoh mungkin kedengaran terlalu kasar tetapi bagaimana lagi harus disifatkan pada mereka yang rela bersusah-payah demi mengagungkan orang luar sehingga menjatuhkan orang sendiri ini? Kalau bodoh itu terlalu keras, mungkin kita boleh sebut mereka sebagai tidak ada rasa cinta pada orang sendiri. Apabila tidak ada rasa cinta terhadap orang sendiri, inilah jadinya. Tanpa ada rasa keberatan kita dewa-dewakan orang luar sambil mencemuh orang sendiri. Kita kecam dan kita jatuhkan orang kita sendiri sementara dalam masa yang sama kita puja-puji orang luar. Walaupun mungkin benar industri hiburan kita masih perlu banyak pembaharuan, tapi lupakah kita apabila meludah ke langit kesudahannya ia akan kembali jatuh ke muka sendiri? Kesimpulannya, kita tidak akan mendapat sebarang kelebihan dengan memberi publisiti besar-besaran kepada artis-artis dari seberang ini jadi kenapa perlu kita bersusah-payah menjulang mereka?
Permintaan peminat tidak boleh disangkal menjadi satu dorongan ke arah kebanjiran artis dari seberang ini. Kita tidak boleh salahkan peminat, cuma, sesekali tertanya-tanya juga, bagaimana permintaan itu boleh timbul? Adakah peminat-peminat ini sering ke seberang mendengar album-album di sana sehingga menyebabkan mereka kenal artis-artis tersebut lalu kembali ke Malaysia dan membuat permintaan pada stesen-stesen radio supaya menyiarkan lagu-lagu artis seberang pada setiap hari dan sepanjang masa? Inikah yang dimaksudkan oleh pihak-pihak yang mendakwa mereka menyiarkan lagu dari seberang di atas permintaan peminat? Sebenar-benarnya, tanpa promosi dan publisiti meluas yang media berikan, bagaimana permintaan terhadap karya mereka boleh timbul dengan begitu banyak dan bagaimana untuk tidak menimbulkan permintaan kalau setiap masa peminat disogok-sogokkan dengan lagu artis seberang sehingga mereka lebih kenal lagu-lagu seberang daripada lagu tempatan? Kalau nak bercakap pasal mutu juga, jujurnya bermutu sangatkah lagu seperti ‘Pencinta Wanita’ yang sering dimainkan di radio kita? Kita nak bohong siapa? Sesetengah pihak lebih mementingkan keuntungan peribadi dan cuba mengaburi mata masyarakat dengan bercakap soal persaingan dan mutu tetapi kita boleh nilai sendiri bahawa tidak semua karya dari seberang yang dibawa masuk ke sini bermutu tinggi seperti yang pihak terbabit gembar-gemburkan. Masalahnya berbalik pada persoalan yang satu itu tadi. Kita tidak melibatkan soal muzik dan hiburan di dalam mentakrifkan merdeka dan patriotik. Kerana itu kita masih dijajah dari segi ini.
Kita seperti berbalik pada zaman mundur. Zaman di mana kita perlu bergantung kepada orang luar untuk cari makan. Zaman di mana kita tidak yakin dengan kemampuan orang sendiri dan kita rasa megah apabila dapat menggunakan produk dari luar. Kerana itu artis kita perlukan ‘bantuan’ dari artis seberang baru mereka boleh membuat konsert di negara sendiri. Kerana itu juga sekalipun artis kita tidak bergabung dengan artis seberang, mereka wajib menyanyikan setidak-tidaknya satu lagu dari seberang apabila membuat persembahan. Dalam setiap pertandingan nyanyian yang popular juga kita perlu menyelitkan lagu mereka. Kita berikan anugerah khas untuk mereka. Malah dalam carta lagu tempatan juga lagu-lagu mereka turut dipertandingkan. Di atas dasar apa? Semua itu hanya membuatkan kita nampak seolah-olah begitu bergantung kepada mereka. Kita bergantung kepada mereka sehingga taraf kita menjadi lebih rendah daripada mereka walaupun berada di negara sendiri. Masih tak sedar-sedar lagikah kita? Cukup-cukuplah alpa dan buka minda kita. Segera lakukan sesuatu bagi mengatasi hal ini terutamanya kepada mereka yang punya kuasa di dalam bidang ini. Sudah-sudahlah menyusukan kera di hutan dan membiarkan anak sendiri mati kelaparan di rumah.

2 ulasan:
ellop... aku dah add link blog ko...
tq..
Catat Ulasan